Koronavirus: Sabah tingkatkan pengawasan di KKIA
Ruzaini Zulkepli
Januari 23, 2020 19:13 MYT
Januari 23, 2020 19:13 MYT
Susulan penularan wabak koronavirus di Wuhan, China, kerajaan negeri Sabah kini meningkatkan pengawasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).
Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Frankie Poon dalam kenyataan medianya pada hari ini berkata, langkah berjaga-jaga itu termasuklah membuat ujian saringan kepada semua penumpang terutamanya melibatkan penerbangan antarabangsa.
"Pada masa ini, tiada kes-kes koronavirus dilaporkan di Sabah.
"Orang ramai dinasihatkan agar tidak panik tetapi perlu berhati-hati dan mengamalkan langkah-langkah pencegahan dalam kehidupan seharian seperti memakai topeng muka, mencuci tangan secara kerap dan elakkan daripada kawasan yang sesak," katanya.
Terdahulu, beliau dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sabah, Datuk Christina Rundi turut berkesempatan berkunjung ke KKIA pada jam 3 pagi tadi untuk melakukan pemantauan rapat terhadap ujian saringan 'Thermal Scanner’ yang ditempatkan di lapangan terbang tersebut.
Mengulas mengenai langkah peningkatan pengawasan di KKIA, Poon berkata, pengasingan segera akan terus dilakukan sekiranya terdapat penumpang yang berada dalam keadaan mencurigakan.
Tambahnya, berikutan perayaan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi, pihaknya menjangkakan ramai penduduk tempatan kembali untuk meraikan sambutan itu dari luar negara termasuk kemasukan pelancong China ke Sabah.
"Sebelum ini, langkah-langkah pengawasan yang lebih tinggi adalah perlu memandangkan kejadian penularan wabak koronavirus baru-baru ini.
"Pengasingan akan dilakukan sebaik sahaja keadaan yang disyaki ditemui atau dikesan dalam penumpang untuk mencegah atau mengelakkan penyebaran mana-mana virus," katanya lagi.
#China
#Frankie Poon
#kerajaan negeri Sabah
#KKIA
#koronavirus
#Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu
#Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat
#Sabah
#Tahun Baharu Cina
#thermal scanner
#ujian saringan
#Wuhan