Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan setakat ini belum ada sebarang indikasi yang menuntut rakyat negara ini bekerja dari rumah bagi mengelakkan penularan jangkitan koronavirus baharu (2019-nCov).

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata, walaupun ada permintaan terhadap perkara itu, namun kementerian menyerahkan kepada keputusan majikan masing-masing.

“Kita masih belum sampai kepada tahap untuk menuntut ke arah langkah-langkah itu.

“Mungkin untuk tahap seterusnya, mungkin kita akan mengambil langkah-langkah itu.

"Kita tidak boleh sekadar ikut apa negara lain buat. Keputusan kita perlu mengikut keperluan dan kepentingan (semasa negara) dengan mengambil kira pandangan pakar-pakar kesihatan," katanya pada sidang media harian di kementeriannya, pada Isnin.


Terdahulu, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (SNEF) mencadangkan agar majikan di republik itu mempertimbangkan untuk kakitangan mereka bekerja dari rumah.

Ia susulan kerajaan Singapura telah menaikkan paras amaran ke peringkat jingga.

[LAPOR LANGSUNG] Koronavirus Angka korban terus meningkat, lebih 900 maut


BACA: Koronavirus: 22 kontak rapat dikesan babitkan kes ke-18

Amaran peringkat jingga berkenaan virus terbabit adalah berbahaya dan boleh berjangkit dengan mudah kepada mana-mana individu, dan kali akhir diisytiharkan ketika penularan wabak influenza H1N1 pada 2009-2010.

Negara itu ketika ini berdepan 43 kes positif koronavirus.

Dianggarkan kira-kira 400,000 rakyat Malaysia kini mencari nafkah di Singapura dengan hampir 100,000 daripadanya berulang-alik antara Johor Bahru ke negara itu setiap hari.