Koronavirus: MOTAC, Selangor dan Pahang sasar pasaran baharu pelancong
Bernama
Februari 4, 2020 05:33 MYT
Februari 4, 2020 05:33 MYT
Susulan penularan 2019 novel koronavirus (2019-nCoV) yang dijangka memberi kesan pada bilangan pelancong China ke Malaysia, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), serta negeri Selangor dan Pahang pada Selasa mengumumkan usaha masing-masing dalam merancang strategi baharu yang menyasarkan kehadiran pelancong dari pelbagai negara sumber.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohammadin Ketapi dalam satu sidang media di sini pada Selasa mengumumkan pihaknya akan menstruktur semula kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020) dengan menyasarkan pasaran negara-negara baharu.
Menurutnya ini kerana pihak kementerian mendapati kesan krisis koronavirus di Wuhan, China, telah menyebabkan jumlah pelancong dari negara itu turun dengan mendadak.
Di KUALA SELANGOR, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari pada Selasa mengumumkan strategi baharunya yang menyasarkan kedatangan lebih ramai pelancong dari dunia negara-negara Arab, Korea, Taiwan dan beberapa negara Eropah.
Beliau berkata impak penyakit itu dilihat itu bukan setakat membabitkan kedatangan pelancong dari China, tapi juga dari negara lain.
"Pelancong dari Jepun bagaimanapun masih 'setia' berkunjung ke Selangor hingga program 'bon-odori' di negeri ini diteruskan dan menjadi sebahagian promosi pelancongan yang kita akan perhebatkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Pemurnian Pelancongan Negeri Selangor (P3S) di Kuala Selangor, pada Selasa.
Pengurus Besar Tourism Selangor, Azrul Shah Mohamad yang mengakui perkara itu berkata susulan penularan wabak 2019-nCov kedatangan pelancong khususnya dari China setakat ini dilihat agak menurun berbanding tempoh sama tahun lepas.
DI KUANTAN, Pahang, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan Negeri Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata Pahang akan meneroka pasaran baru pelancong dari Amerika Selatan dan Rusia untuk mengisi jurang yang ditinggalkan pelancong China.
Ini kerana, pelancong China merupakan antara penyumbang terbesar kehadiran pelancong asing ke Pahang, iaitu sekitar 700,000 ke sejuta orang setahun.
"Penularan penyakit itu menyebabkan berlaku pembatalan tempahan melibatkan pelancong China dan kita menjangkakan ia akan berlaku dalam masa sebulan dua, sebelum kita dapat mencari keseimbangan dengan kehadiran pelancong negara lain," katanya.
Mohd Sharkar berkata demikian pada sidang media Pelancaran Pertandingan Video Pendek Pahang Simply Awesome sempena Visit Malaysia 2020 di pejabat Tourism Pahang di Kuantan, pada Selasa.
Beliau berkata keputusan menarik pelancong dari Rusia dan Amerika Selatan juga 'tepat' ekoran pihaknya juga baharu mengadakan promosi pelancongan di beberapa buah negara Amerika Selatan termasuk di Argentina pada Disember lalu.
Sementara itu di LANGKAWI, Kedah; pemain industri pelancongan Langkawi pada Selasa mengadakan perbincangan bagi mencari jalan menarik kembali kehadiran pelancong ke Pulau Langkawi dengan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni dan Budaya dan Pembangunan Keusahawanan Kedah, Mohd Asmirul Anuar Aris turut hadir dalam perbincangan itu.
"Hasil perbincangan tadi ada cadangan supaya bantuan diberi sebagai contoh sekiranya pemain industri terlibat menyertai promosi pelancongan bayaran ruang pameran mungkin boleh dikongsi bersama dengan pihak bertanggungjawab," kata Mohd Asmirul yang ditemui pemberita.
Beliau berkata hasil tinjauan yang dilakukannya ke beberapa lokasi sekitar Langkawi pada Selasa mendapati keadaan pulau ini amat baik dan selamat justeru pelancong dalam dan luar negara tidak perlu bimbang untuk datang bercuti.
Ketika ditanya sama ada wabak 2019 novel koronavirus menyebabkan kehadiran pelancong ke Langkawi berkurangan, Mohd Asmirul berkata beliau tidak menolak kemungkinan itu.
-- BERNAMA
#2019-nCoV
#Amirudin Shari
#China
#coronavirus
#kesan koronavirus
#Langkawi
#Mohammadin Ketapi
#Mohd Sharkar Shamsuddin
#MOTAC
#novel koronavirus
#pasaran baharu
#pelancong
#pelancongan
#promosi
#strategi baharu
#Tahun Melawat Malaysia 2020
#VM2020
#Wuhan