Koronavirus: Kelantan tak terkecuali ambil langkah berjaga-jaga
Muhafandi Muhamad
Januari 23, 2020 06:00 MYT
Januari 23, 2020 06:00 MYT
Kelantan tidak terkecuali mengambil langkah berjaga-jaga membendung penularan koronavirus selepas ia dikesan di negara jiran, Singapura.
Pemantauan dilakukan bersama dengan Jabatan Kesihatan Kelantan yang telah mengambil langkah berwaspada.
Pada masa sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dr Izani Husin, turut menasihati rakyat Kelantan supaya mengutamakan kebersihan.
“Pertama, tidak boleh lari dari kebersihan, (iaitu) kebersihan diri, persekitaran, makanan. Kedua, kekuatan badan atau imuniti kena tinggi yang berkait dengan makanan dan kebersihan dengan gizi tertentu.
"Kalau imun tinggi, kuman datang insya-Allah boleh elak,” katanya.
Dr Izani menjelaskan, langkah pemantauan turut dilakukan oleh agensi berkaitan di pintu masuk negara, di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Rantau Panjang, Pengkalan Kubor dan juga Bukit Bunga.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Khamis menerusi kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan, empat kes disyaki dijangkiti koronavirus baharu dikenali sebagai 2019-nCoV, dikesan di negara ini.
Bagaimanapun, keempat-empat mereka telah disahkan negatif.
#China
#Dr Izani Husin
#Jabatan Kesihatan Kelantan
#Kelantan
#koronavirus
#pemantauan
#Singapura
#virus Wuhan
#Wuhan