Koronavirus: Kedutaan Malaysia di Beijing hantar pasukan ke Wuhan
Bernama
Februari 1, 2020 19:12 MYT
Februari 1, 2020 19:12 MYT
Kedutaan Besar Malaysia di Beijing hari ini menghantar satu pasukan peninjau ke Wuhan bagi menyelaras dan membantu proses membawa pulang 120 rakyat Malaysia di wilayah Hubei susulan penularan wabak novel koronavirus 2019 (2019-nCoV) di negara itu.
Duta Besar Malaysia ke China Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin berkata pasukan yang terdiri daripada enam orang pegawai kedutaan itu ditugaskan untuk mengumpul dan mengemas kini senarai rakyat Malaysia yang berada di sana.
Katanya pasukan itu juga akan berurusan dengan pihak berkuasa tempatan bagi melancarkan proses penghantaran pulang nanti.
“Pasukan peninjau kita telah bertolak ke Wuhan pagi tadi… (dan) perjalanan melalui jalan darat ke sana mengambil masa kira-kira 12 ke 13 jam dan mereka dijangka sampai pada tengah malam nanti (waktu tempatan).
“Pasukan ini akan kumpulkan rakyat Malaysia dan kemas kini senarai nama mereka yang akan terlibat dengan proses penghantaran balik ke tanah air nanti,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Nushirwan berkata setakat ini proses perbincangan dengan kerajaan China mengenai penghantaran pulang rakyat Malaysia berjalan dengan baik dan mereka yang terlibat dijangka balik dengan penerbangan komersial dalam masa terdekat.
Katanya butiran mengenai tarikh penerbangan pulang itu akan diumumkan oleh kerajaan Malaysia setelah persetujuan dengan kerajaan China dicapai.
“Penyelarasan dengan kerajaan China berjalan lancar, dia (China) pun faham keadaan kita, (mereka) sangat membantu dan fleksibel. Tarikh (pulang) Putrajaya akan umum (nanti),” katanya.
Semalam, Menteri Luar Negeri Datuk Saifuddin Abdullah berkata pesawat tentera Malaysia tidak dibenarkan masuk ke China untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang terperangkap di wilayah yang dilanda wabak koronavirus di republik itu. - BERNAMA
#Beijing
#China
#coronavirus
#Malaysia
#Nushirwan Zainal Abidin
#penerbangan
#pesawat
#Putrajaya
#rakyat Malaysia
#Saifuddin Abdullah
#Wuhan