Koronavirus: 2 daripada 107 yang pulang tidak lepasi saringan kesihatan

Madiha Abdullah
Februari 4, 2020 13:28 MYT
Penumpang dan kru menjalani saringan kesihatan di Air Disaster Unit (ADU), KLIA. - JBPM
Daripada 107 individu yang tiba dari Wuhan pagi tadi, dua daripadanya tidak melepasi saringan kesihatan dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut.
Baki selebihnya dibawa menaiki bas ke Pusat Pemantauan (Surveillance Center) di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) di Nilai, Negeri Sembilan.
Dalam satu kenyataan media, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memaklumkan 107 individu itu, 88 adalah rakyat Malaysia manakala 19 lagi adalah pasangan serta anak-anak mereka yang bukan warga negara.
Pusat pemantauan itu akan diselia oleh petugas kesihatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia, di mana perhubungan adalah terhad dengan petugas kesihatan sahaja.
Mengikut laporan sebelum ini, jumlah mereka yang berdaftar dengan kedutaan untuk kembali ke Malaysia adalah 141, tetapi jumlah sebenar yang hadir untuk menaiki pesawat adalah 107.
Menurut Wisma Putra, sebilangan rakyat Malaysia yang dijadualkan dalam penerbangan ini tidak dapat meninggalkan Wuhan atas masalah logistik.
Pesawat sewa khas AirAsia AK8265 dari Wuhan, China selamat mendarat di KLIA pada jam 5.57 pagi tadi turut membawa lapan petugas, enam pegawai Kedutaan Besar Malaysia dan 12 kru AirAsia.
#AirAsia #Hospital #Kementerian Kesihatan #KLIA #koronavirus #Kuala Lumpur #nilai #penerbangan #pesawat #Wisma Putra #Wuhan
;