Salah seorang peniaga di karnival tersebut menangis kerana tidak dapat menahan sedih selepas pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri didakwa mengarahkan ekspo di tapak berkenaan ditutup serta-merta dalam tempoh 48 jam.
Arahan tersebut didakwa dikeluarkan selepas selebriti berkenaan dirakam sedang menari ala dangdut bersama beberapa orang lelaki lain, dan secara jelas telah melanggar garis panduan ditetapkan PBT.
Perbuatan tersebut menyebabkan peniaga menanggung kerugian kerana terpaksa menutup perniagaan mereka.
Seorang peniaga dikenali sebagai Eira Aziera berkata, dia kecewa dan mempersoalkan apa salah mereka sebagai peniaga kerana tidak terlibat dengan insiden tersebut.
“Penganjur bagi tahu vendor-vendor untuk tutup khemah dalam masa 48 jam. Apa salah kami (peniaga) sampai kami pula diarahkan tutup? Yang menari bukan kami, yang menari tu tak ada dalam atur cara majlis, tetamu yang tak diundang,” katanya dalam satu hantaran di Tik Tok, pada Sabtu.
Menurutnya, setelah diarah menutup gerai jualan masing-masing, secara langsung pekerja terlibat kehilangan kerja sehingga hari raya.
“Di mana budi bicara sebagai orang Islam. Patutkah orang Islam lain yang buat, orang Islam yang tak ada kena mengena menjadi mangsa. Ingat nak buka booth tak guna duit kah?” soalnya.
Aziera yang mengusahakan jualan donut red velvet memaklumkan sudah berhabis ribuan ringgit untuk membuka khemah di karnival tersebut, termasuk kos publisiti dan mengupah 10 orang pekerja.
“Saya tak akan jejak kaki ke Baling lagi selepas ini. Saya bayar pekerja seorang RM100. Ada 10 orang, hari-hari turun dari Sungai Petani ke USM (Universiti Sains Malaysia) dan dari USM turun ke Baling.
“Saya habiskan masa, tenaga, pengorbanan saya untuk promosikan tempat itu, bantu naikkan martabat tempat itu tapi saya kecewa dengan apa yang terjadi,” ujarnya.
Berdasarkan komen netizen, aksi selebriti berkenaan menari di atas pentas bukan sahaja mendapat kritikan daripada pelbagai pihak, malah kecaman turut dilemparkan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor susulan insiden tersebut.
Sementara itu, penganjur Fiesta Raya Baling 2024 tampil memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat negeri Kedah termasuk umat Islam atas kontroversi yang berlaku.
Maju Kedah Resources dalam kenyataan berkata, perkara yang berlaku membabitkan selebriti Diva AA adalah di luar jangkaan pihaknya dan bukan salah satu daripada atur cara program.
Menurutnya, kehadiran selebriti tersebut merupakan atas jemputan sahabat Tiktokers, Diva BB yang turut sama berniaga di Fiesta Raya Baling.
“Merujuk kepada video viral Diva AA menari di atas pentas Fiesta Raya Baling baru-baru ini, kami bagi pihak penganjur Fiesta Raya Baling 2024 memohon sejuta kemaafan atas isu tersebut.
“Pada asalnya kami menyangka ia hanyalah sekadar gurauan pentas kerana beliau tiada dalam senarai jemputan rasmi,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, ekoran insiden terbabit, pihaknya menerima teguran daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayu, Mohd Taufik Yaacob dan mengarahkan agar Fiesta Raya Baling 2024 ditutup atas dasar tanggungjawab berhubung insiden tersebut.
“Kami selaku penganjur dengan rasa tanggungjawab menerima teguran tersebut untuk menutup terus penganjuran acara Fiesta Raya Baling 2024.
“Hari Sabtu adalah hari terakhir kami beroperasi,” ujarnya.
Menurutnya lagi, pihak jawatankuasa Fiesta Raya Baling turut kesal atas apa yang berlaku dan memohon maaf kepada semua pihak yang terkesan dengan isu tersebut. - Sinar Harian