KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu bahawa kontrak bagi Projek Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur bernilai RM232 juta telah diberikan kepada Syarikat Nepturis Sdn Bhd.

Timbalan Setiausaha Bahagian di Bahagian Pembangunan dan Penswastaan, Kementerian Kerja Raya (KKR) Mohamed Fauzi Mohamad Hanafiah, 46, berkata menerusi surat daripada Kementerian Kewangan kepada ketua setiausaha KKR pada Mei 2022 menyatakan Menteri Kewangan ketika itu (Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz) telah bersetuju meluluskan projek terbabit dengan anggaran RM232 juta bagi tempoh 36 bulan.

"Kelulusan ini tertakluk kepada syarat antaranya peruntukan telah diluluskan dan mencukupi bagi projek itu; semua peraturan dan tatacara kewangan yang berkuat kuasa perlu dipatuhi sepenuhnya; harga kontrak RM232 juta perlu diselaraskan berdasarkan persetujuan pihak-pihak (terlibat) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) perlu pastikan syarikat Nepturis bebas daripada sebarang tindakan undang-undang sebelum Surat Setuju Terima (SST) ditandatangan.

"Saya sahkan surat bertarikh 13 Mei 2022 ini telah ditandatangani oleh Datin Rosni Mohd Yusoff daripada Bahagian Perolehan Kerajaan, Kementerian Kewangan," katanya.

Saksi pendakwaan keenam itu berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Berkenaan projek-projek di bawah program Jana Wibawa, Mohamed Fauzi memaklumkan pihak KKR tidak menentukan sebarang projek untuk dimasukkan ke dalam program berkenaan.

"Saya tidak pasti bagaimana penentuan sesuatu projek itu dimasukkan ke dalam program Jana Wibawa. Saya mengesahkan projek Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur telah diletakkan di bawah program Jana Wibawa atas pemakluman daripada pihak Kementerian Kewangan kepada JKR dan dimaklumkan kepada pihak KKR," katanya.

Projek Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) diperkenalkan ketika pentadbiran Perdana Menteri pada masa itu Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan objektif mempercepat pelaksanaan projek dan meningkatkan ekonomi negara semasa pandemik COVID-19.

Kepada soalan tambahan oleh Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Adzmi, saksi itu berkata projek lebuh raya berkenaan yang berada di bawah seliaan KKR akan siap sepenuhnya pada 2027.

Sementara itu, berhubung soalan peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Wan Saiful, saksi berkata kesemua projek yang melebihi RM100 juta perlu mendapat kelulusan daripada pihak Kementerian Kewangan.

Mohamed Fauzi bersetuju dengan peguam bahawa dalam kes ini, projek Central Spine Road melebihi RM100 juta, jadi keputusan untuk memilih dan melantik kontraktor bagi projek berkenaan dibuat oleh Kementerian Kewangan.

Wan Saiful, 47, didakwa meminta suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuk membantu Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur daripada kerajaan Malaysia secara prakelayakan yang bernilai RM232 juta.

Beliau juga didakwa menerima wang tunai RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya WSA Advisory Group Sdn Bhd daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Nepturis Sdn Bhd sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan Surat Setuju Terima bagi projek terbabit.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu didakwa melakukan kedua-dua kesalahan di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana di sini pada April 2022 dan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku antara 8 Julai hingga 30 Sept 2022.

Wan Saiful turut berdepan 18 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM5.59 juta dengan memindah dan menggunakan wang hasil aktiviti haram itu antaranya membayar pembelian kenderaan jenis Ford Ranger, pembayaran kepada Majlis Sukan Negara Malaysia selain memindahkan wang itu ke beberapa akaun syarikat termasuk milik Sinar Karangkraf Sdn Bhd.

Kesemua kesalahan didakwa dilakukan di Cawangan CIMB Bank Berhad Bukit Tunku di sini antara 12 Ogos dan 13 Nov 2022 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rozina Ayob bersambung 20 Mei ini.

-- BERNAMA