Ringkasan AI
- Kontrak projek kerajaan Sarawak akan ditarik balik jika kontraktor gagal memulakan kerja dalam tempoh sebulan selepas penganugerahan projek.
- Masalah projek sakit timbul apabila kontraktor tidak mempunyai kekuatan kewangan dan sering membida pada harga rendah untuk memenangi tender.
- Kerajaan Sarawak akan memantau kontraktor yang menggunakan beberapa nama syarikat berbeza untuk memenangi bidaan tender projek.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata ini solusi terbaik bagi menangani masalah kontraktor yang gagal menyiapkan projek dalam tempoh ditetapkan sehingga memberi kesan negatif kepada rakyat di Sarawak.
"Kerajaan telah memutuskan apabila projek itu dianugerahkan kepada kontraktor yang berjaya mereka mesti memulakannya serta-merta dan kalau tidak dapat melaksanakan dalam masa sebulan, kita tarik balik," katanya.
Beliau ditanya mengenai perkara berkenaan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Koordinasi Pembangunan Negeri (SDCCM) BIL 2/2024 di sini hari ini.
Abang Johari berkata masalah projek sakit timbul apabila kontraktor tidak mempunyai kekuatan kewangan untuk melaksanakan projek dan sering kali didapati membida pada harga amat rendah semata-mata untuk memenangi tender projek.
Tiga kontrak yang ditarik balik ialah kontrak pemasangan lampu isyarat Jalan Samarahan dan pembinaan Jambatan Marudi serta Jambatan Rambungan.
Abang Johari berkata kerajaan akan turut memantau pihak kontraktor yang menggunakan beberapa nama syarikat berbeza demi memenangi bidaan tender projek.
"Ada tauke yang menggunakan banyak syarikat tetapi mendapat banyak projek. Mereka tidak mempunyai kekuatan untuk melaksanakan projek itu. Jadi kita pun pantaulah perkara ini," katanya.
Kerajaan mesti bertindak tegas bagi mengelakkan rakyat menerima kesan buruk daripada kegagalan pelaksanaan projek oleh kontraktor.
Beliau telah memaklumkan kepada timbalannya yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Amar Douglas Uggah Embas polisi itu sudah mula menunjukkan kesan positif.
-- BERNAMA