KUALA LUMPUR: Kerajaan akan membuka industri pengerukan dan penambakan kepada syarikat-syarikat tempatan bagi mewujudkan daya saing dalam pembangunan pelabuhan-pelabuhan negara.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata langkah tersebut boleh dilaksanakan susulan penamatan konsesi kepada Integrated Marine Works Sdn Bhd (IMW) atas pelanggaran syarat-syarat perjanjian konsesi.

“Akhirnya, notis penamatan telah dikeluarkan kepada pihak IMW pada 11 Jun 2024 iaitu dua hari lalu kerana mereka telah melanggar beberapa terma dalam perjanjian konsesi. MOT tidak akan melantik syarikat konsesi baharu susulan penamatan ini. 

“Sebaliknya, satu dasar baharu akan digubal untuk menggalakkan pertumbuhan industri pengerukan dan penambakan dalam kalangan syarikat-syarikat tempatan yang lebih berdaya saing demi pembangunan pelabuhan-pelabuhan negara. 

“Juga ditegaskan bahawa kebanyakan projek-projek pengerukan dan penambakan di pelabuhan-pelabuhan persekutuan adalah dilaksana dan dibiayai sendiri oleh operator pelabuhan masing-masing. Tidak melibatkan dana daripada Kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media berkenaan Konsesi Pengerukan & Hala Tuju Penggabungan MAVCOM dan CAAM hari ini.

Menurut Anthony, IMW yang dimiliki sepenuhnya oleh Inai Kiara Sdn. Bhd. (Inai Kiara) semasa perjanjian konsesi ditandatangani pada 30 Mei 2022, telah menukar pemegang saham tanpa kebenaran Kerajaan. 

Jelasnya, semakan mendapati Inai Kiara telah diisytiharkan gulung tikar oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 11 April 2023, dan pegangan saham IMW telah dipindahkan kepada Inai Warisan Sdn. Bhd.

IMW juga dimaklumkan telah melanggar terma  apabila gagal membuat pembayaran caj konsesi pada tahun 2023 seperti yang termaktub dalam perjanjian konsesi. 

"Walaupun Kementerian Pengangkutan telah mengeluarkan Notis Kemungkiran bertarikh 29 Januari 2024 kepada syarikat tersebut dengan tempoh remedi selama tiga bulan, sehingga 29 April 2024. Namun pihak IMW gagal meremedikan pelanggaran beberapa terma perjanjian yang diputuskan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Anthony berkata IMW telah dianugerahkan konsesi dan hak eksklusif bagi pengerukan dan penambakan di pelabuhan-pelabuhan dibawah seliaan Jabatan Laut Malaysia melalui perjanjian penswastaan pertama antara Kerajaan Malaysia dengan IMW  dimeterai pada 21 Disember 2004, dengan tempoh konsesi selama 15 tahun.

“Perjanjian penswastaan tersebut telah berakhir pada 20 Disember 2019. Pada ketika itu, Kerajaan Pakatan Harapan tidak berhasrat untuk menyambung semula konsesi IMW selaras dengan dasar penamatan monopoli yang telah ditetapkan pada ketika itu. 

“Walaubagaimanapun, selepas pertukaran kerajaan akibat Langkah Sheraton, Jemaah Menteri baharu pada 7 Julai 2021 telah memutuskan untuk melantik semula IMW... dengan tempoh konsesi selama 15 tahun yang akan tamat pada tahun 2036...

“Namun begitu, pada 30 Mei 2022, perjanjian konsesi Pengerukan dan Penambakan telah ditandatangani oleh Kerajaan yang diwakili oleh MOT, Suruhanjaya dan Lembaga Pelabuhan, bersama dengan syarikat IMW.

Pelabuhan-pelabuhan persekutuan yang dimaksudkan melibatkan Pelabuhan Bintulu, Pelabuhan Klang, Pelabuhan Pulau Pinang, Pelabuhan Tanjung Pelepas, Pelabuhan Pasir Gudang, Pelabuhan Kuantan, Pelabuhan Kemaman, Pelabuhan Teluk Ewa, Pelabuhan Melaka, Pelabuhan Labuan, dan Pelabuhan Lumut.


[LANGSUNG] Sidang Media Menteri Pengangkutan | 13 Jun 2024