Beliau, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata makna baharu ini akan dapat mencorakkan pembangunannya di masa hadapan.
Menurutnya, di peringkat kementeriannya, komitmen untuk kemajuan desa didorong empat imperatif utama iaitu data dan digital; ekonomi, sosial dan sahsiah serta akses dan alam sekitar dengan setiap satu mempunyai huraian tersendiri yang akan dikongsinya dari masa ke semasa.
"Sudah pasti saya memerlukan maklum balas semua warga desa dan bukan desa bagi tujuan ini. Amat penting bagi kita yang majoriti berasal daripada desa untuk meningkatkan penyertaan idea-idea pembangunan desa.
"Di sinilah kita perlu bersatu hati, memupuk kerjasama, melupakan kulit ideologi politik bagi bersama-sama membangunkan negara," katanya dalam hantaran di Facebooknya, hari ini.
Ahmad Zahid berkata konsep desa tradisional sebagai kawasan lingkungan yang mempunyai konotasi negatif harus dikikis sesuai dengan perubahan zaman.
Dalam konteks Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, katanya, ini merupakan peluang sepanjang tempoh kerajaan penggal ini untuk melaksanakan pelbagai usaha bagi memastikan pemugaran dan rekayasa sosial akan melimpah dan dirasai warga desa sebaik-baiknya.
"Rekayasa sosial ini menuntut pihak kerajaan, institusi, malah parti politik untuk memainkan peranan penting memulihkan sikap dan tingkah laku masyarakat dengan membawa agenda pembangunan yang lebih progresif," katanya.
-- BERNAMA