Menteri Luar Negeri Datuk Saifuddin Abdullah berkata, sudah lebih enam bulan konflik di Myanmar berlangsung, namun sehingga ke hari ini tiada sebarang bantuan kemanusiaan yang berjaya di hantar ke negara berkenaan.
Tambahnya lagi, beliau akan kembali menghubungi Menteri-menteri Luar ASEAN, terutama sekali Erywan, untuk melihat apa yang boleh Malaysia lakukan untuk mepercepatkan pelaksanaan lima perkara konsesus yang dicapai para pemimpin ASEAN sebelum ini.
“Apa yang boleh saya katakan ialah, kami sangat kecewa lima perkara konsensus berkenaan tidak dapat dilaksanakan secepat mungkin, selain itu seperti yang saya sebutkan dahulu, Duta Khas ASEAN masih belum berjaya masuk ke Myanmar.
“Sudah lebih enam bulan (konflik) berlaku, dan tidak banyak perubahan. Pada hari kedua (sebagai Menteri Luar) saya sudah berhubung dengan Menteri-menteri luar ASEAN, terutama sekali Erywan. Saya akan hubungi beliau kembali untuk melihat bagaimana kita boleh percepatkan perkara ini.
"Tetapi dengan perkembangan terbaharu, kita semua harus merancang dari mula,” katanya kepada media hari ini.
Beliau sebelum itu menghadiri mesyuarat pada lawatan sulung di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) di sini hari ini.
BACA: Konflik Myanmar: PBB beri amaran 'perang saudara skala penuh' boleh tercetus
BACA: Duta Khas ASEAN ke Myanmar gesa gencatan senjata, bolehkan bantuan kemanusiaan diagihkan
Pada April lepas, pemimpin ASEAN telah mengadakan pertemuan dengan Ketua Junta Myanmar, Min Aung Hlain di Jakarta, dan telah mencapai lima perkara konsensus.
Pengerusi ASEAN Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dalam satu kenyataan susulan berkata, lima perkara tersebut ialah: -
- Menghentikan semua keganasan di Myanmar serta merta;
- Mengadakan dialog konstruktif dengan semua pihak berkepentingan bagi mencapai keamanan dan kesejahteraan rakyat Myanmar;
- Proses mediasi yang akan dikelolakan oleh Duta Khas ASEAN ke Myanmar, dengan bantuan Setiausaha Agung ASEAN;
- Menghantar bantuan kemanusiaan melalui Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan Mengenai Pengurusan Bencana ASEAN (Pusat AHA);
- Pertemuan Duta Khas ASEAN dan delegasi dengan semua pihak berkepentingan di Myanmar.
Pada 31 Ogos, Menteri Luar II Brunei itu dalam satu sidang video dengan Menteri Luar Myanmar, Wunna Maung Lwin, mencadangkan gencatan senjata hingga akhir tahun ini, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA) memetik Kyodo News.
Menurut Erywan, tentera telah menerima cadangan berkenaan.