KOMITMEN Malaysia dalam transformasi sektor tenaga negara dizahirkan melalui pengwujudan sebuah Kementerian khusus dalam usaha ini. Ia bermatlamat mengurangkan kesan kepada alam sekitar dan menyokong pembangunan mapan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang diberi tanggungjawab mengetuai kementerian ini dipercayai mampu menyahut seruan antarabangsa mengurangkan pelepasan karbon melalui penggunaan tenaga boleh diperbaharui sejajar komitmen Malaysia dalam Perjanjian Paris 2015.

Menurut Fadillah, Rantau Asia-Pasifik, yang menempatkan 60 peratus daripada populasi dunia, berhadapan dengan cabaran unik dalam menyeimbangkan pertumbuhan ekonomi dengan kelestarian alam sekitar.

Dalam mengatasi cabaran itu, kerajaan merangka Pelan Tindakan Kecekapan Tenaga Negara 2.0 (NEEAP 2.0) sejajar dengan Pelan Hala Tuju Perubahan Tenaga Negara (NETR). Pelan ini menggariskan usaha dan komitmen negara ke arah mencapai sistem tenaga mapan dan inklusif.

NETR menterjemahkan pelaksanaan inisiatif peralihan tenaga daripada ekonomi berasaskan bahan api fosil tradisional kepada ekonomi hijau bernilai tinggi.

NETR yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ogos tahun lalu, adalah untuk mencapai aspirasi Pelepasan Gas Rumah Kaca (GHG) bersih sifar seawal-awalnya pada 2050.

Untuk itu, beberapa inisiatif dilaksanakan seperti pembangunan loji jana kuasa solar bagi meningkatkan pembekalan tenaga elektrik hijau pada kos berpatutan.

Foto fail

Selain itu, ruang bumbung bangunan atau permukaan air dimanfaatkan untuk pemasangan sistem solar bagi mengelak tebus guna tanah dan meneroka pembangunan sistem grid serantau di bawah inisiatif Grid Tenaga ASEAN.

Sasaran untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mapan (SDG) Ke-7 iaitu memastikan akses kepada bekalan tenaga yang mampu bayar, boleh dipercayai, mapan, dan moden disokong melalui pelaksanaan program Tenaga Bersih Bersepadu (TBB) bagi tahun 2024.

Program ini menyokong inisiatif peralihan tenaga dan pengurangan jejak karbon, selain menjana limpahan ekonomi dalam bentuk nilai pelaburan langsung berjumlah RM12 bilion dalam industri TBB dan mewujudkan sekurang-kurangnya 36,000 peluang pekerjaan kepada rakyat.

Mengulas mengenai fasa transformasi penting negara dalam sektor tenaga ini, Ketua Kluster SDG7 bagi Jawatankuasa Kerja SDG Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Prof. Madya Dr. Amir Abdul Razak memberitahu, negara yang dianugerahi kepelbagaian sumber semula jadi, kini giat meneroka potensi tenaga keterbaharuan bagi memenuhi keperluan tenaga negara.

Beliau memberitahu, dalam spektrum tenaga alternatif di Malaysia, tenaga solar dilihat sebagai pemacu utama dalam sektor tenaga boleh diperbaharui. Kedudukan strategik Malaysia di garisan khatulistiwa dengan purata penerimaan sinaran suria setinggi 1,571 kWh/m² setahun menjadikannya lokasi amat sesuai untuk penghasilan tenaga melalui tenaga solar.

Berdasarkan data terkini sehingga Mei lalu, jumlah kapasiti tenaga boleh diperbaharui Malaysia mencapai angka memberangsangkan iaitu 4.02 GW.

Daripada jumlah tersebut, tenaga solar menyumbang sebanyak 3.65 GW, mencerminkan dominasi sektor ini dalam landskap tenaga boleh diperbaharui negara.

“Peningkatan kapasiti ketara ini membuktikan momentum kukuh dalam penggunaan dan pengembangan tenaga solar di Malaysia, sekali gus menunjukkan keyakinan pelbagai pihak terhadap potensi teknologi ini dalam memenuhi keperluan tenaga masa hadapan negara,” katanya.

Berdasarkan analisis trend semasa dan pelbagai inisiatif yang sedang dilaksanakan, Malaysia dijangka mencapai peningkatan kapasiti tenaga boleh diperbaharui yang signifikan. Menjelang tahun 2025, sasaran peratusan kapasiti tenaga boleh diperbaharui ditetapkan pada 18.2 peratus daripada keseluruhan campuran tenaga negara.

Unjuran jangka panjang pula menunjukkan potensi peningkatan lebih ketara, dengan anggaran kapasiti mencecah 18.4 GW menjelang tahun 2040.

Sasaran-sasaran ini bukan sekadar angka semata-mata, tetapi jelas Dr. Amir yang juga Pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif berkata, ia mencerminkan potensi pertumbuhan besar dalam industri tenaga bersih negara selain petunjuk jelas komitmen negara mempelbagaikan sumber tenaganya dan mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil.

Pencapaian sasaran-sasaran ini dijangka membawa impak positif meluas, bukan sahaja dari segi kelestarian alam sekitar, tetapi memacu inovasi teknologi, mewujudkan peluang pekerjaan baharu, dan meningkatkan daya saing ekonomi negara dalam era tenaga hijau global.

Foto BERNAMA

Kerajaan juga mengambil pelbagai inisiatif mempercepat penggunaan tenaga diperbaharui. Pelan Hala Tuju Tenaga Boleh Diperbaharui Malaysia (MyRER) yang dilancarkan pada tahun 2022 menetapkan sasaran mencapai 31 peratus campuran kapasiti tenaga boleh diperbaharui menjelang 2025 dan 40 peratus menjelang 2035.

Walau bagaimanapun, unjuran semasa kerajaan menunjukkan pencapaian 18.2 peratus menjelang 2025 dan 36.4 peratus menjelang 2035. Walaupun terdapat perbezaan antara sasaran dan unjuran, ia tetap menggambarkan komitmen tinggi kerajaan Malaysia terhadap peralihan tenaga bersih.

Dr. Amir turut memberitahu, pelbagai skim dan program diperkenalkan bagi menyokong peralihan ini. Skim Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) 3.0 yang dilancarkan pada Disember 2020 membolehkan pengguna tenaga solar mengeksport lebihan tenaga ke grid.

Program Solar Berskala Besar (LSS) pula berjaya meningkatkan kapasiti solar negara melalui lima pusingan bidaan kompetitif sehingga kini.

Usaha terkini kerajaan dalam mempromosi peralihan tenaga dapat dilihat melalui pelancaran Skim Insentif Solar untuk Rakyat (SolaRIS) pada tahun 2023. Skim ini menawarkan insentif kewangan sehingga RM4,000 bagi pemasangan sistem fotovolta solar di kediaman yang siap sebelum 31 Mac 2025 atau sehingga kuota rebat habis digunakan. Inisiatif ini bertujuan menggalakkan penggunaan tenaga solar di peringkat isi rumah.

“Walaupun Malaysia telah mencapai kemajuan yang memberangsangkan dalam penggunaan tenaga keterbaharuan, masih terdapat beberapa cabaran kritikal yang perlu ditangani.

“Antara cabaran utama ialah keperluan untuk mengintegrasikan sumber tenaga boleh diperbaharui yang bersifat intermiten, seperti tenaga solar dan angin, ke dalam grid elektrik yang stabil. Usaha ini memerlukan pelaburan yang besar dalam pembangunan teknologi grid pintar dan sistem penyimpanan tenaga yang efisien,” katanya.

Bagi menangani cabaran ini, kerajaan perlu mempertimbangkan pelaburan berskala besar dalam pemodenan infrastruktur grid dan pembangunan teknologi penyimpanan tenaga.

Walau bagaimanapun, perlu ditekankan bahawa Malaysia masih bergantung secara signifikan kepada sumber tenaga berasaskan bahan api fosil. Pada tahun 2023, lebih 96 peratus daripada campuran tenaga negara berpunca daripada sumber ini.

Justeru, peralihan ke arah sasaran 70 peratus tenaga boleh diperbaharui menjelang tahun 2050 merupakan satu cabaran yang besar. Usaha ini memerlukan komitmen jangka panjang yang melibatkan pelaburan besar dalam pembangunan infrastruktur baharu dan penggunaan teknologi termaju dalam sektor tenaga.

Revolusi tenaga boleh diperbaharui di Malaysia bukan sekadar membawa manfaat kepada alam sekitar, malah turut menjana impak ekonomi yang signifikan. Berdasarkan laporan terkini, sektor tenaga boleh diperbaharui dijangka mewujudkan kira-kira 47,000 peluang pekerjaan baharu menjelang tahun 2035.

Unjuran ini menunjukkan potensi besar sektor berkenaan dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara dan mempelbagaikan pasaran pekerjaan tempatan. Perkembangan ini mencerminkan sinergi positif antara kelestarian alam sekitar dan pembangunan sosioekonomi negara.


* Hasimi Muhamad merupakan wartawan penyiaran di Astro AWANI dan lulusan dari Universiti Utara Malaysia (UUM).

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.