PENULIS menyambut baik pengumuman oleh Kementerian Sumber Manusia Malaysia (KESUMA) berkaitan dengan permohonan pengaturan kerja fleksibel secara formal oleh pekerja daripada majikan masing-masing. Pengaturan kerja fleksibel ini semakin ditekankan akibat perubahan landskap pasaran buruh pasca pandemik COVID-19.

Walau bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa waktu kerja fleksibel ini bukan suatu perkara baharu dalam ekonomi moden. Contohnya, bekerja dari rumah (WFH) telah dipromosikan dan dilaksanakan terutamanya di negara-negara maju sejak awal tahun 2000-an.

Di Amerika syarikat WFH diamalkan secara praktikal dalam sektor perkhidmatan, dengan lebih daripada 50% pekerja berada dalam perkhidmatan profesional dan perniagaan, perkhidmatan maklumat, dan perkhidmatan kewangan.

Dari perspektif ekonomi, pengumuman pengaturan waktu kerja fleksibel ini bersifat intervensi dari sisi penawaran yang melibatkan peraturan dan perundangan perburuhan. Secara idealnya, sebarang intervensi sisi penawaran perlu mengambil kira sisi permintaan yang melibatkan impak kepada majikan dan pergerakan industri. Perkara ini memastikan kerajaan mendapat maklumat termaklum berkenaan dengan kos dan manfaat pengaturan waktu kerja fleksibel.

Pada pandangan penulis, cadangan pengaturan waktu kerja fleksibel memerlukan penelitian dari sudut ekonomi. Berikut penulis senaraikan parameter yang perlu diperhalusi sebelum sebarang ketetapan dan perlaksanaan:

  1. Implikasi produktiviti. Produktiviti buruh negara masih berada pada tahap sederhana. Walaupun jadual yang fleksibel dapat meningkatkan keseimbangan kerja-hidup dan kepuasan pekerja, ia juga boleh mempengaruhi tahap produktiviti syarikat berkenaan dan syarikat-syarikat lain di sepanjang rantaian perbekalan.

     
  2. Perubahan pengukuran prestasi kerja. Produktiviti pekerja tidak boleh lagi diukur dengan menggunakan kaedah sedia ada jika pengaturan waktu kerja fleksibel digunakan. Transformasi kaedah pengukuran produktiviti daripada berasaskan jam bekerja kepada berasaskan output pengeluaran diperlukan.

     
  3. Analisis kos-manfaat ekonomi. Jalankan analisis kos-manfaat untuk menilai implikasi kewangan penerapan jam kerja fleksibel. Pertimbangkan faktor-faktor seperti bayaran lebih masa, kos pentadbiran, dan pelaburan yang diperlukan dalam teknologi atau infrastruktur untuk menyokong pengaturan kerja fleksibel. Bandingkan kos ini dengan manfaat potensi seperti pengurangan ketiadaan, kadar pusingan kerja yang lebih rendah, dan peningkatan moral pekerja. Perbandingan kos dan manfaat ini membolehkan kerajaan mengintai kewujudan ruang kepada peningkatan gaji jika kos operasi berkurangan.

     
  4. Sektor berpotensi. Jam kerja fleksibel boleh dilaksanakan dalam pelbagai sektor, tetapi kebolehlaksanaan dan keberkesanan mungkin berbeza bergantung pada sifat kerja dan dinamika industri. Secara amnya, sektor-sektor yang melibatkan kerja berdasarkan pengetahuan lebih sesuai untuk pengaturan kerja yang fleksibel seperti perkhidmatan teknologi maklumat (IT) dan pembangunan perisian, perkhidmatan profesional dan pendidikan.

    Di sisi lain, sektor-sektor yang melibatkan kerja fizikal, kehadiran di tempat, atau keperluan operasi yang ketat mungkin menghadapi cabaran dalam melaksanakan jam kerja fleksibel seperti sektor pembuatan, penjagaan kesihatan, peruncitan dan hospitaliti, dan pengangkutan dan logistik.

     
  5. Dinamika pasaran buruh. Pertimbangkan dinamika pasaran buruh dan landskap persaingan dalam industri. Jam kerja fleksibel boleh membantu sebagai “adjuster” dalam industri yang menghadapi kekurangan buruh atau persaingan yang sengit untuk bakat.

Secara peribadinya, penulis berpandangan masih terlalu awal untuk Malaysia melaksanakan pengaturan waktu kerja fleksibel secara berskala besar. Penulis tidak pasti apakah “kenyataan masalah” yang ingin diselesaikan oleh pengaturan waktu kerja fleksibel. Negara masih berdepan dengan situasi tahap produktiviti buruh yang sederhana. Justeru itu, perlaksanaan pengaturan waktu kerja fleksibel dijangka tidak memberi impak yang signifikan kepada pertumbuhan produktiviti buruh.

Kerajaan boleh mempertimbangkan projek rintis terlebih dahulu dengan sektor kerajaan menjadi ujian experimentasi. Di Emiriah Arab Bersatu (UAE), kakitangan kerajaan persekutuan bekerja 4 hari setengah seminggu tetapi kami tiada peruntukan masa rehat untuk minum pagi dan makan tengahari.

Adakah kakitangan kerajaan di Malaysia bersedia untuk melakukan perubahan ini? Peluang hampir tiada untuk bersama rakan menikmati teh tarik, nasi lemak dan roti canai pada waktu pagi dan nasi campur pada waktu tengah hari.



* Dr. Mohd Yusof Saari merupakan anak Malaysia yang kini memegang jawatan Ketua Ekonomi Buruh di Kementerian Sumber Manusia dan Emiratisasi, Emiriah Arab Bersatu.

** Artikel ini adalah pandangan peribadi dan/atau berdasarkan bidang tugasnya, dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.