KENYATAAN Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berhubung isu kegagalan 122,000 murid Tahun Satu menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) bagi sesi akademik tahun ini adalah langkah berani yang harus dipandang serius oleh semua pihak.


Ringkasan AI
  • Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menyatakan bahawa 122,000 murid Tahun Satu gagal menguasai kemahiran membaca, menulis, dan mengira (3M), mewakili 27.5% daripada keseluruhan murid Tahun Satu. Laporan Bank Dunia 2024 juga menunjukkan hanya 58% pelajar Malaysia mampu menguasai kemahiran membaca menjelang akhir Tahun Lima.
  • Ibu bapa perlu memainkan peranan dengan memastikan anak-anak menguasai kemahiran asas sebelum memasuki Tahun Satu, termasuk menghantar mereka ke prasekolah dan melibatkan diri dalam perkembangan pendidikan anak-anak.
  • Penggunaan alat peranti yang berleluasa memberi impak negatif kepada pembelajaran. Ibu bapa disarankan untuk memupuk minat membaca dalam kalangan anak-anak dan melibatkan diri secara aktif dalam pendidikan mereka.


Angka itu mewakili 27.5 peratus daripada keseluruhan 448,113 murid Tahun Satu yang berdaftar di sekolah seliaan Kementerian Pendidikan.

Terdahulu, laporan Bank Dunia 2024 menyatakan hanya 58 peratus pelajar di Malaysia mampu menguasai kemahiran membaca menjelang akhir Tahun Lima. Ia jauh ketinggalan berbanding negara-negara lain di rantau ini, termasuk Vietnam.

Dapatan Bank Dunia juga selari dan mengesahkan laporan ringkasan dasar 'Pelan Pendidikan untuk Menangani Keciciran Murid di Sekolah Rendah dan Menengah Malaysia' yang dilaksanakan secara kolaboratif antara Institut Masa Depan Malaysia (MASA) dan Universiti Kebangsaan Malaysia pada 2022.

Seperti lirik lagu Bangau Oh Bangau, semua pihak mula menuding jari menyalahkan antara satu sama lain apabila ini berlaku.

Dari pihak kementerian, mereka semestinya paling terkesan dan bertindak sewal mungkin dengan pelaksanaan Program Intervensi Literasi dan Numerasi yang bermula Ogos lepas bagi membantu murid-murid menguasai kemahiran 3M.

Dalam permasalahan ini, guru memainkan peranan yang amat penting sebagai pendidik masyarakat.
Masyarakat meletakkan harapan sangat tinggi kepada guru terhadap tanggungjawab yang perlu digalas dalam bidang kurikulum dan pembinaan sahsiah anak didik.

Guru yang prihatin dan peka terhadap keadaan atau kondisi pembelajaran murid-murid mereka sudah tentunya dapat mengesan murid yang menghadapi masalah membaca dan menulis ini.

Seterusnya mereka mestilah mengambil tindakan segera dan khusus untuk membendung masalah ini sebelum menjadi lebih kritikal.

Selain itu, punca kuasa kepada isu gagal membaca ini juga bermula dari rumah. Penguasaan 3M adalah isu paling utama yang perlu diberikan perhatian sebelum anak melangkah ke Tahun Satu.

Ia bagi memastikan kanak-kanak ini mampu mengikut pembelajaran dengan lebih mudah dan tidak berlakunya keciciran pembelajaran. Antara langkah awal adalah dengan menghantar anak-anak ke kelas prasekolah,



Dianggarkan 98% kanak-kanak telah menerima pendidikan awal di prasekolah di negara ini, namun 24% daripadanya tidak menguasai kemahiran dan tahap kesediaan belajar juga rendah.

Ia menunjukkan kanak-kanak ini tidak didedahkan dengan kemahiran asas di rumah. Dalam bahasa mudah, ibu bapa bersikap lepas tangan dalam mendidik anak-anak.

Mereka gagal mengambil pendekatan proaktif dan membabitkan diri secara langsung dalam perkembangan anak-anak sama ada dari segi pelajaran mahu pun sosial.

Ibu bapa ini memberi alasan bahawa tidak mempunyai masa untuk mengikuti perkembangan anak-anak kerana terlalu sibuk dengan tugasan harian di pejabat atau sebagainya.

Percaya atau tidak, ada di antara anak-anak hanya mengenal huruf dan memegang pensil apabila berada di bilik darjah. Beg sekolah dicampak di satu sudut apabila tiba di rumah.

Ibu bapa sedemikian langsung tidak menitik berat pembelajaran anak-anak. Mereka gagal meluangkan masa bersama anak-anak, sekurang-kurangnya bertanya perkembangan pelajaran mereka dan sebagainya.

Lebih memburukkan keadaan, dewasa ini ibu bapa lebih mengambil jalan mudah dengan memberi alat peranti kepada anak-anak.



Kajian Sundus pada tahun 2018 mendapati penggunaan alat peranti yang berleluasa dan tidak terkawal memberi impak kepada kurang daya tumpuan, kelewatan pertuturan dan masalah pembelajaran.

Ia mempengaruhi kosa kata mereka dalam berkomunikasi bukan sahaja di rumah, malahan di dalam bilik darjah apabila bersama rakan sekelas dan guru.

Apabila ibu bapa bersikap tidak cakna, ia turut mempengaruhi persepsi anak-anak terhadap kepentingan ilmu pengetahuan terutamanya membaca.

Minat dan motivasi sangat berperanan dalam membina tabiat dan keupayaan membaca. Minat yang mendalam terhadap bahan bacaan memudahkan seseorang itu mengalami proses pembacaannya.

Dari segi psikologi, kurang minat belajar dan tidak mengambil perhatian semasa belajar merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada wujudnya masalah membaca dalam kalangan murid.

Golongan ini seterusnya akan mengacau murid-murid lain dan menyumbang kepada gejala negatif sekiranya tidak dibendung.

Justeru, ibu bapa adalah wadah terbaik di dalam memahirkan anak-anak dengan kemahiran 3M sebelum mereka menjejak kaki ke sekolah.

Mereka perlu melibatkan diri dan memastikan anak-anak dapat menguasai asas prabaca, proses bimbingan prabacaan.

Ia dapat membimbing, memberi sokongan serta bantuan kepada anak-anak untuk menguasai kemahiran 3M.

Contoh terbaik adalah dengan memupuk cintakan budaya membaca. Mereka disaran membaca bersama-sama anak-anak sebahagian daripada rutin seharian.

Secara tidak langsung ia menjadi ikutan kepada anak-anak untuk terus berminat menguasai kemahiran membaca.

Ibu bapa juga harus tidak lokek membeli bahan bacaan yang sesuai dan menarik untuk anak-anak. Ia satu pelaburan yang lebih berbaloi berbanding dengan menghadiahkan alat peranti atau berbelanja besar di kafeteria yang menjadi amalan kebanyakan keluarga masa kini.

Membaca itu jambatan ilmu. Seseorang yang mempunyai kemahiran membaca dengan mudah dapat memperolehi serta meningkatkan ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang.

Sejak berzaman, ia adalah kemahiran asas yang diajar di sekolah. Para pendidik sepakat bahawa membaca merupakan petanda pencapaian akademik yang paling signifikan.

Bagi pihak pendidik, mereka memerlukan roh guru di dalam mendidik para pelajar mengenal petanda akademik ini.

Ia akan terhasil dari rangkuman keikhlasan, keterbukaan, amanah, berpegang kepada prinsip, gigih dan pantang menyerah.

Integriti merupakan dorongan dalaman agar guru melaksanakan amanah mendidik anak bangsa sebaik-baiknya di dalam menghidupkan roh ini.


Dr Abdul Mutalib Embong dan Dr Kasyfullah Abd Kadir adalah Pensyarah Kanan, Pusat Pendidikan Asas & Lanjutan, Universiti Malaysia Terengganu.

Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan bidangnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.