PENGUMUMAN Pelan Pemulihan Negara oleh perdana menteri baru-baru ini mendapat reaksi pelbagai dalam kalangan masyarakat.

Ada yang lega, ada yang resah; ada yang setuju, dan ada juga yang masih keliru.

Sejak pandemik COVID-19 melanda negara lebih 4 juta orang yang terlibat dalam sektor pelancongan dan sekitar 640,000, syarikat yang mengusahakan produk serta perkhidmatan pelancongan menerima tamparan hebat daripada situasi tersebut. 

Bukan itu sahaja, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah memberi kesan negatif ke atas industri pelancongan negara serta menjejaskan banyak perniagaan dalam industri berkaitan seperti penginapan, pengangkutan, membeli-belah, makanan dan minuman, seni dan budaya dan penganjuran acara-acara perniagaan (MICE).

Ada yang masih bertahan dan ada juga terpaksa menutup operasi atau mencari sumber pendapatan alternatif.

Lebih setahun berhadapan dalam situasi tidak menentu, masyarakat mengharapkan detik-detik sukar ini segera berakhir.

Buat penggiat industri pelancongan khususnya, sama ada mahu atau tidak, mereka terpaksa menunggu sehingga hujung tahun ini untuk mendapat sinarnya.

Ini selaras dengan perlaksanaan fasa ke-4 Pelan Pemulihan Negara apabila sektor pelancongan domestik dijangka hanya akan dapat beroperasi sepenuhnya pada akhir tahun ini apabila kes kebolehjangkitan COVID-19 dapat dikurangkan.

Di peringkat global pula, United Nations World Tourism Organisation (UNWTO) meramalkan bahawa pemulihan sektor pelancongan dijangka akan mengambil masa selama dua hingga empat tahun.

Ini adalah tempoh yang agak panjang dan pastinya memberikan cabaran yang besar kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam industri pelancongan negara.

Pelan Pemulihan Negara adalah salah satu inisiatif kerajaan bagi memastikan sektor ekonomi dan sosial negara dapat dipulihkan secara berperingkat.

Namun pelan tersebut perlu disertai dengan strategi yang berkesan dan menyakinkan agar sektor pelancongan dapat dipulihkan pada kadar segera.

Harus diingat bahawa kebenaran untuk rentas negeri bagi aktiviti pelancongan domestik yang dijangka dapat dilaksanakan akhir tahun ini bukan jaminan bahawa sektor ini akan pulih sepenuhnya.

Apakah yang akan berlaku kepada pengusaha industri pelancongan dalam tempoh tiga hingga empat bulan lagi?

Adakah mereka mampu bertahan atau sebaliknya? Apakah bentuk bantuan segera yang diperlukan bagi memastikan sektor pelancongan masih terus relevan?

Persoalan-persoalan ini perlu diambil kira dan diperhalusi agar semua pihak yang terlibat dalam sektor pelancongan mempunyai hala tuju yang jelas dalam memastikan kelangsungan ‘hidup’ mereka dalam industri pelancongan.

Sebelum ini juga terdapat beberapa rintihan serta tuntutan daripada penggiat industri pelancongan menerusi persatuan-persatuan pelancongan telah disuarakan kepada kerajaan.

Antaranya seperti pemberian moratorium secara automatik, pemberian subsidi upah, pengecualian cukai pelancongan, pemberian vaksin kepada petugas hotel dan beberapa lagi.

Tapi sejauh mana tuntutan tersebut dipenuhi dan bagaimana pula dengan pelaksanaannya.

Ini semua memerlukan satu sistem pengurusan yang proaktif sekali gus mampu menjamin kepentingan semua pihak khususnya pengusaha pelancongan.

Meskipun terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran, penggiat industri pelancongan terpaksa menerima hakikat bahawa soal keselamatan dan kesihatan masyarakat perlu lebih diutamakan.

Dalam hal ini, semua pihak perlu bermuhasabah diri dan mengambil iktibar daripada situasi hari ini untuk merancang masa depan yang lebih baik.

Tidak salah kiranya kita melangkah setapak ke belakang untuk kita melompat lebih jauh ke hadapan sekali gus memacu pertumbuhan industri pelancongan yang lebih cemerlang.

Di peringkat awal ini, kita boleh merancang strategi pemulihan khususnya dalam sektor pelancongan domestik dan membangunkan modal insan yang akan menjadi penggerak utama sektor pelancongan negara.

Program promosi dan pemasaran juga perlu disusun semula dengan lebih awal bagi mengembalikan keyakinan masyarakat tempatan dan antarabangsa untuk melancong semula.

Kita harus memaklumkan kepada dunia bahawa Malaysia adalah destinasi yang selamat dan sentiasa mengutamakan faktor kebersihan dan keselamatan dengan protokol norma baru yang menyakinkan.

Pembukaan destinasi pelancongan domestik secara bersasar juga perlu perancangan awal dengan mengutamakan zon hijau (green zone) seperti di pulau-pulau peranginan.

Jika boleh dilaksanakan program vaksinasi dengan memberi tumpuan kepada destinasi pelancongan yang dengan ini dapat meningkatkan imuniti kelompok di kawasan tersebut.

Jika kadar imuniti kelompok ini kita dapat tingkatkan, kita mungkin boleh buka dahulu destinasi pelancongan tersebut kepada pelancong yang telah divaksin untuk melancong ke sana.

Dalam menghadapi situasi masa kini, kita perlu bersiap sedia dengan norma baharu ini demi memastikan kelangsungan industri pelancongan dalam menyumbang kepada ekonomi negara.

Semoga usaha-usaha yang dirancangkan ini dapat mengembalikan daya saing industri ini serta mendapat sokongan padu dan kerjasama penuh daripada semua pihak berkepentingan termasuk NGO dan penggiat industri yang berkaitan.


* Penulis ialah Naib Presiden Majlis Pelancongan Malaysia dan Felo Adjung Universiti Utara Malaysia 

** Kenyataan dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.