PIHAK kerajaan sepatutnya mencari langkah lain bagi menghulurkan bantuan kepada rakyat selain daripada membenarkan rakyat mengunakan duit simpanan mereka sendiri khususnya daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Antara langkah yang sepatutnya diberi pertimbangan oleh pihak kerajaan adalah untuk pihak kerajaan menggunakan wang rizab negara bagi membantu mereka yang terjejas pendapatan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengawal penularan virus COVID-19 pada ketika ini.

Walaupun pihak kerajaan mempunyai pertimbangan yang lebih penting untuk menggunakan wang rizab negara, namun kebajikan dan keperluan rakyat ketika ini perlu dberi keutamakan. Penularan virus COVID-19 pada awal tahun 2020 yang lalu diserata dunia termasuk dalam Malaysia telah menjejaskan kehidupan ramai pihak khususnya mereka yang tidak memiliki pendapatan tetap.

Oleh yang demikian, adalah penting supaya pihak kerajaan memberi keutamaan bagi menghulurkan bantuan segera kepada golongan yang terjejas ini.

Rizab negara kita adalah besar, tidak salah untuk mengunakan sedikit wang rizab ini bagi membantu golongan yang memerlukan dalam negara kita. Rizab negara yang telah disimpan selama bertahun-tahun ini harus dimanfaatkan untuk rakyat yang memerlukan bantuan pada waktu terdesak ini, barulah rakyat akan lihat kerajaan benar-benar prihatin kepada kehidupan mereka dan memahami segala kesukaran yang terpaksa dilalui oleh mereka pada ketika ini.

Perlu diketahui, wang simpanan persaraan KWSP ini adalah penting untuk kegunaan rakyat selepas mereka bersara kelak. Kita tidak tahu selama mana kita akan hidup selepas bersara nanti. Adalah penting untuk kita ketahui dengan kemajuan dunia sains dan teknologi perubatan, umur manusia makin lama makin panjang.

Pemanjangan had usia manusia ini menuntut semua pihak untuk lebih bersiap sedia bagi hadapi segala kemungkinan luar jangka terutamanya dari aspek kewangan. Kita tidak boleh menafikan kepentingan wang dalam kehidupan seharian kita. Wang adalah penting supaya kita dapat meneruskan kehidupan seharian kita tanpa mengharapkan bantuan serta menyusahkan orang sekeliling.

Wang menjadi lebih penting selepas kita bersara kelak. Apabila usia meningkat, lebih banyak wang yang diperlukan dalam kehidupan kita. Ini adalah kerana peningkatan usia manusia akan memberi kesan terhadap kehidupan seharian mereka terutamanya dari aspek kesihatan. Usia lanjut akan menyebabkan tahap kesihatan kita menurun.

Penurunan tahap kesihatan ini akan mengundang kepada pelbagai jenis penyakit. Bagi merawati penyakit – penyakit ini, kita memerlukan wang bagi melakukan proses rawatan. Usia yang lanjut juga akan menyukarkan proses carian kerja kerana tenaga pun semakin berkurangan. Ini akan membantutkan lagi usaha untuk mencari sumber pendapatan apabila kita semua sudah sampai pada usia bersara kelak.

Ramai majikan diluar sana pun lebih gemar mendapatkan tenaga kerja dari kalangan orang muda yang lebih sihat dan bertenaga. Oleh yang demikian, adalah penting supaya rakyat kita memiliki sumber kewangan yang benar-benar kukuh bagi menampung kehidupan mereka selepas bersara. Langkah untuk membenarkan rakyat mengeluarkan wang simpanan persaraan mereka dari KWSP ini perlu diteliti supaya simpanan wang hari tua mereka tidak terjejas sehingga boleh mambawa kesan terhadap kehidupan mereka dikemudian hari.


* Prof Madya Dr Muzaffar Syah Mallow adalah pensyarah di Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.