“PERISTIWA Nuzul al-Quran ialah peristiwa di mana turunnya ayat al-Quran yang pertama.

“Al-Quran itu mukjizat teragung Nabi Muhammad yang menjadi panduan umat Islam selagi mereka berpegang teguh dengannya.”

Saban tahun kita baca, dengar dan saksikan para ustaz dan ustazah menulis dan berceramah mengenai Nuzul al-Quran pada tanggal 17 Ramadan.

“Hmm… ini boleh buat content TikTok ni,” fikir kakak C.

“Oh, macam tu ke?” sahut adik BBNU.

“Alaa…klise la, setiap tahun dah dengar dan boleh hafal pun,” getus abang D.

“Betul tu ustazah, sama macam ustaz ceramah kat TV tu,” bisik makcik K.

“Apa-apa laaa… yang penting aku cukup makan,” tukas Mr X.

Yang mana satu agaknya hampir sama dengan tindak balas kita sendiri?

Jika kita seperti kakak C, mungkin kita akan teruskan mendengar, membaca dan menonton untuk ketahui bagaimana kita boleh olah dan sampaikan kepada orang lain. Kakak C mungkin akan jumpa kepentingan membaca dan mempelajari al-Quran, lantas memikirkan bagaimana nak tanam minat followers untuk baca, belajar dan faham al-Quran. Al-Quran tu surat cinta kot dari Allah!

Adik BBNU pula pasti akan terus tekun membaca, mendengar dan menonton ceramah tersebut, baru nak belajar kan. Syabas adik! Penulis atau penceramah mungkin sebut kata-kata Ibnu Mas’ud: 'Demi Allah, tidaklah seseorang duduk membaca al-Quran melainkan akan ada yang bertambah dan berkurang. Orang yang membaca al-Quran, keimanan dan keyakinannya akan bertambah.'

Kalau sikap kita sama dengan abang D, kita mungkin akan terus dengar sambil melakukan kerja-kerja kita. Sekurang-kurangnya kita mungkin mendapat manfaat daripada apa yang kita dengar dan baca. Bukankah al-Quran itu petunjuk dan panduan? Manalah tahu, abang D jadi rajin baca al-Quran, dengan izin Allah, al-Quran itu boleh jadi peneman di alam kubur dan pemberi syafaat di akhirat. Bak kata ulama’ terdahulu: 'Bahawasanya pada hari kiamat nanti al-Quran akan datang menjadi pembawa syafaat.'

Bagus juga jika tindak balas kita seperti makcik K. Di mana sahaja ada peluang dan ruang untuk dapatkan ilmu, dia rebut. Makcik K bukanlah pandai sangat, juga tidak petah berbicara bab Nuzul al-Quran, namun tidak mustahil beliau mampu mengupas maksud firman Allah dalam surah al-Isra’ ayat 82: 'Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.'

Semoga, tidak ramai antara kita yang memilih untuk jadi seperti Mr X, tidak mengendahkan atau mungkin tidak merasakan apa-apa manfaat daripada tulisan dan ceramah berkaitan Nuzul al-Quran ini. Ingatlah sabda junjungan kita: 'Jadilah kamu seorang yang berilmu yang mengajar, atau belajar, atau pendengar majlis ilmu, atau yang kasih kepada ilmu. Janganlah kamu menjadi yang kelima nescaya kamu akan binasa.'

Terima kasih kepada kakak C, cikgu yang mengajar di TikTok.

Semoga maju jaya kepada adik BBNU, belajarlah hingga berjaya.

Keep it up abang D, dengar banyak-banyak agar bermanfaat.

Syabas makcik K, kasihkan ilmu itu sangat bermakna.

By the way Mr X, tidakkah berasa iri hati pada mereka?


* Penulis merupakan seorang pensyarah di Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim (AIKOL), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). 

** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan bidangnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.