Sunway Medical Centre Velocity (SMCV) dalam kenyataan berkata jumlah itu semakin meningkat dan faktor-faktor yang menyumbang kepada penyakit ini terutamanya berpunca daripada tiga 'tahap tinggi' yakni kolesterol tinggi, paras gula dalam darah yang tinggi dan tekanan darah tinggi.
Menjelang Hari Kesihatan Sedunia, Pakar Perunding Perubatan Dalaman dan Pakar Nefrologi di SMCV Dr Lim Soo Jin dalam perkongsian ilmu berkata tiga tahap tinggi itu berlaku akibat daripada diet tidak sihat, serta gaya hidup yang tidak aktif, dan mereka yang mempunyai sejarah keluarga dengan penyakit itu juga lebih terdedah kepada penyakit berkenaan.
"Tiga tahap tinggi itu biasanya dialami oleh pesakit yang berumur lebih dari 40 tahun, namun tabiat gaya hidup yang buruk boleh menyebabkan ia muncul lebih awal dan ketiga-tiga tahap tinggi ini adalah faktor risiko utama untuk strok, penyakit jantung iskemia dan penyakit buah pinggang kronik, semuanya boleh membawa kepada masalah kesihatan lain jika dipandang ringan," katanya.
Dr Lim menambah gejala tekanan darah yang sangat tinggi boleh mengakibatkan antaranya sakit kepala, masalah penglihatan, sakit dada dan kesukaran bernafas, manakala mereka yang mempunyai kolesterol darah tinggi mungkin mempunyai tanda mata seperti Xanthelasma (ketulan bahan berlemak berwarna putih kekuningan terkumpul di bawah kulit) atau Arcus Senilis (lengkok putih, kelabu muda atau kebiruan kelihatan di atas dan di bawah bahagian luar kornea).
"Pesakit dengan paras gula dalam darah yang tinggi akan mengalami rasa dahaga, kerap membuang air kecil, keletihan, loya dan muntah, sesak nafas dan sakit perut.
"Jika tidak dirawat, ia boleh membawa kepada keadaan lain yang mengancam nyawa seperti Sindrom Koronari Akut (ACS) yang dikaitkan dengan aliran darah yang mendadak dan berkurangan ke jantung, dan mengakibatkan keadaan serangan jantung seperti Infarksi Miokardium Akut, Infarksi Miokardium Subendokardium Akut dan angina tidak stabil.
Sementara itu Pakar Perunding Kardiologi dan Perubatan Dalaman di SMCV Dr Tee Chee Hian berkata ACS akibat daripada tiga tahap tinggi itu boleh dilihat daripada simptom seperti sakit dada semasa melakukan senaman, daya tahan yang berkurangan, letih, pening, keadaan hampir pengsan dan berdebar-debar.
"Bagi kes-kes yang teruk, ia akan mengakibatkan pesakit tidak sedarkan diri secara tiba-tiba (apabila jantung berhenti mengepam) dan memerlukan rawatan perubatan segera," katanya.
Sementara itu Perunding Neurologi dan Pakar Perubatan Dalaman di SMCV Dr Kok Chin Yong berkata dari segi fungsi otak, ketiga-tiga tahap itu boleh memberi impak yang kuat seperti peningkatan tekanan darah yang mendorong perubahan tidak normal dan pembentukan semula dinding saluran darah, melemahkannya, dan membawa kepada aliran darah terjejas, terutamanya kepada struktur otak dalam.
Bagaimanapun bukan semua tekanan darah tinggi membawa kepada hipertensi, tetapi ia merupakan tanda amaran yang tidak boleh diabaikan, maka adalah penting untuk memberi perhatian kepada sebarang gejala, serta mendapatkan penjelasan daripada perunding yang mungkin berguna dalam mengenal pasti sebarang keadaan yang muncul.
"Diagnosis awal adalah sangat penting. Merawat tiga tahap tinggi lebih awal dapat mencegah strok dan demensia dengan menghalang degenerasi kedua-dua sel otak dan saluran darah di otak," katanya.
SMCV juga menasihatkan orang ramai supaya peka dengan sebarang perubahan dalam badan tidak kira sekecil mana sekalipun kerana ia boleh memberi kesan yang lebih besar kepada kesihatan mereka.
Pihak hospital itu juga menggalakkan semua orang untuk mendapatkan maklumat terkini dan sentiasa mengingatkan diri mereka tentang aspek terpenting dalam kehidupan mereka, yakni kesihatan mereka sendiri.
-- BERNAMA
* Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu!