(Anda perlu membaca antologi puisi Chairil Anwar Deru Campur Debu, Kerikil-Kerikil Tajam dan Yang Terampas dan Yang Putus (1949) dan Tiga Menguak Takdir (1950).
Juga membaca Nokturnal karya Karim Mohd (2018) terbitan Kata Pilar)
PENCINTA puisi alam Melayu tidak akan melupakan penyair hebat dan komplikated seperti Chairil Anwar (1922-1949).
Bagi yang menyintai kehebatan dan sosok puisinya, Chairil akan dikenang sebagai penyair simbolik bagi Angkatan 45. Gerakan penyair yang membuka lembaran baru dalam puisi moden Indonesia.
Sajak 'Aku' (tagline: Aku ini binatang jalang dari kumpulannya yang terbuang) jadi pengucapan paling trending sepanjang zaman.
Malah, keseluruhan sajak 'Aku' memiliki semangat luar biasa. Kekuatan kata-katanya kekal hidup dan membakar dada generasi selepasnya.
Chairil mati muda. Pada usia 27 tahun kerana tifus.
Selain kehebatan puisinya, Chairil digilai dan dikagumi kerana karektor anehnya. Sikap nihilisme terhadap kehidupan menjadikan imej Chairil kelihatan kekal hidup dalam puisi-puisinya yang ditinggalkan.
(Sekadar catatan: Imej buku 'Aku' susunan Sjumanjaya dan poster Chairil Anwar serta petikan puisi-puisinya antara momen hebat dalam filem Ada Apa Dengan Cinta (2001) arahan Rudy Soedjarwo. Tanpa latar imej Chairil, Cinta dan Rangga tidak mungkin punya latar sastera)
Sesiapa yang pernah muda dan melalui zaman gelora dan menjadi pembaca puisi-puisi Chairil, pasti mengakui: kata-kata hebat penyair ini ada pengaruhnya.
Kerawang Bekasi
Kami yang kini terbaring antara Karawang-Bekasi
Tidak bisa teriak “Merdeka” dan angkat senjata lagi
Tapi siapakah yang tidak lagi mendengar deru kami
Terbayang kami maju dan mendegap hati?
Diponegoro
Di masa pembangunan ini
Tuan hidup kembali
Dan bara kagum menjadi api
Di depan sekali tuan menanti
Tak gentar. Lawan banyaknya seratus kali.
Pedang di kanan, keris di kiri
Berselempang semangat yang tak bisa mati.
Kekuatan puisi Chairil adalah semangat yang mengalir dalam bahasa pengucapannya. Watak peribadinya kompolikated tetapi nuansa puisinya sangat energetik.
Chairil lahir di Medan, Sumatera dan memang digelar 'si binatang jalang'. Bunyinya kesat, tetapi itulah kata-kata cocok buatnya. Penyair pemberani yang meneroka pembaharuan besar dalam puisi moden Indonesia.
Keberanian yang menjadikan nama Chairil sebagai penanda aras paling penting sebagai sasterawan yang mewakili Angkatan 45.
Chairil berdarah Minangkabau yang teras bahasa sukunya sering dikaitkan dengan nilai estetika tinggi.
Bezanya, bahasa pengucapan Chairil sangat liar dan kasar. Apa pun, itulah identiti dan ciri khas yang menjadikan 70 puisinya kekal dikenang sampai hari ini.
Ketika cuti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu, saya menghabiskan waktu menikmati semula puisi-puisi Chairil.
Dikongsikan puisi terbaiknya, menurut hemat pembacaan saya selama ini:
AKU
Kalau sampai waktuku
‘Ku mau tak seorang kan merayu
Tidak juga kau
Tak perlu sedu sedan itu
Aku ini binatang jalang
Dari kumpulannya terbuang
Biar peluru menembus kulitku
Aku tetap meradang menerjang
Luka dan bisa kubawa berlari
Berlari
Hingga hilang pedih peri
Dan aku akan lebih tidak perduli
Aku mau hidup seribu tahun lagi
(Mac 1943)
Atau mengulang baca puisi-puisi Persetujuan Dengan Bung Karno atau Cemara Menderai Sampai Jatuh.
Dua puisi yang sejak dulu mampu menghidupkan semangat tiap kali diri terasa sedang diburu rasa putus asa.
Chairil lahir di Medan, Sumatera. Ketuka berusia 18 tahun (1940), dia berpindah ke Jakarta mengikuti ibunya (Soleha) selepas diceraikan bapanya (Toeloes).
Pada tahun yang sama, sebaik berada di Jakarta - anak muda berwatak anarkis tapi patriotik ini mula menapak dalam dunia sastera.
Jakarta waktu itu memang kota persuratan Indonesia. Cuma, kehadiran Chairil dilihat aneh.
Selain keterampilan yang liar dan polos, puisi-puisinya keras. Sifat anarkis dalam pengucapannya dilihat bertentangan dengan arus puisi moden Indonesia.
Walaupun dipengaruhi pembaharuan bentuk, puisi Indonesia dekad 40-an masih kekal dengan pengaruh roman sastera konvensional.
Chairil juga dilihat aneh kerana puisi-puisinya sangat bernada pemberontakan. Malah, obses pada kematian, berwatak individualistik dan cenderung pada eksistensialisme.
Ada kalanya, puisi-puisi Chairil terheret ke alam absurb dan nihil.
Menikmati sajak-sajak Chairil seperti meneguk kopi panas pada awal pagi. Aroma harum dan hangat. Namun, rasa pahit pada tekak dan lidah memberikan kita semangat untuk kekal cekal dan tegar.
Chairil memulakan dunia persekolahan di Hollandsch-Inlandsche School (HIS), sekolah dasar untuk pribumi pada era penjajahan Belanda.
Dia meneruskan pendidikan di Meer Uitgebreid Lager Onderwijs (MULO). Saat usianya mencapai 18 tahun, Chairil enggan bersekolah.
Malah, ketika berusia 15 tahun, Chairil nekad mahu jadi seniman.
Walaupun kandas sekolah, minda dan karisma bahasanya meluas kerana minat membaca Chairil yang luar biasa.
Pada usia muda, anak bekas pegawai tinggi Riau ini sudah merentas minat perbukuan yang meluas tanpa sempadan.
Chairil meminati buku-buku Rainer Maria Rilke, W.H. Auden, Archibald MacLeish, Hendrik Marsman, J. Slaurhoff dan Edgar du Perron.
Sesuai dengan pengaruh kolonialisme, Chairil memburu jagat pengetahuannya melalui sastera Belanda.
IQ Chairil juga cerdas. Walaupun kandas sekolah, 'si binatang jalang' ini menguasai bahasa Inggeris, Belanda dan Jerman.
Anda akan memahami Chairil sekiranya membaca seluruh antologi 'Aku Ini Binatang Jalang' (himpunan sajak 1942-1949 terbitan PT Gramedia).
Walaupun dianggap anarkis, liar dan nihilistik - puisi ketuhanan Chairil antara karya hebat yang dihargai hingga hari ini.
Doa
Kepada pemeluk teguh
Tuhanku
Dalam termangu
Aku masih menyebut namamu
Biar susah sungguh
Mengingat Kau penuh seluruh
Tuhanku
CahayaMu panas suci
Tinggal kerdip lilin di kelam sunyi
Tuhanku
Aku hilang bentuk, remuk
Tuhanku
Aku mengembara di negeri asing
Tuhanku
Di pintuMu aku mengetuk
Aku tidak bisa berpaling
(13 November 1943)
Melihat Chairil dalam Karim Mohd
Bukan saja raut wajah; tetapi kekuatan kata-kata dalam puisi membuatkan kita menganggap Karim Mohd ialah jelmaan Chairil Anwar.
Bezanya - Chairil sangat keras dan liar. Karim pula lembut tetapi tegar.
Siapa Karim Mohd?
Karim lahir pada 1988 di Setiu, Terengganu. Puisi-puisi Karim mencetuskan karektor baharu dalam dunia kepenyairan Malaysia.
Karim sasterawan muda yang muncul dengan watak kepenyairan yang anarkis; tetapi romantis.
Ketika berusia 20 tahun, antologi puisi Nokturnal yang menghimpunkan kumpulan puisi-puisi awalnya sudah menampakkan sosok kepenyairan luar biasa Karim.
Antologi Nokturnal berjaya meraih perhatian apabila menerima Hadiah Utama Sayembara Puisi Kata Pilar 2018.
Nokturnal muncul dan menjadi trending perbicaraan dunia sastera terutama sajak terpendek dalam antologi itu.
Pengucapan anarkis ini, mengheret pembaca menjejak kembali watak Chairil 80 tahun lalu.
Kamar
Melihatmu
aku ingin keluar
tetapi aku pintu.
Puisi-puisi Karim penuh persoalan; himbauan yang nihil dan nahu keterbuangan yang existensialis.
Karim kelihatan seperti makhluk Marikh yang sesat di Bumi. Atau manusia Pluto yang kehilangan identiti.
Secara peribadi, saya melihat Karim sebagai budak galau. Tetapi sentimen genius dalam puisi-puisnya amat menyerlah sekali.
Satu karektor yang ketara kalau kita berusaha menikmati maksud di balik diksi-diksinya.
Karektor puisi Karim seperti nafsu playboy yang pesimis; sekaligus anarkis yang romantis.
Baca puisi ini:
Kalau Sepi Memukul Lagi
(untuk N)
di pagi sepi ini
kudengar suara resahmu lagi
bertalu-talu memukul dinding
rumah hati emak
aku keluar mencari
kesan bayangan tertinggal di sana
tapi tak ada
hidup ini keresahan panjang
setiap jalan menuju ketiadaan
sementara kita umpama rama-rama
terkepung antara dua kelipan cahaya
tapi tak dapat mendekat
ke satu pun daripadanya
pagi jalan. petang rebah di jalanan
saat tidur kita harapkan hari
akan segera pagi
saat bangun kita harapkan matahari
tak perlu ada lagi hari ini
setiap langkah membuka sebatang jalan baru
setiap rebah luka baru pun berumah di kulitmu
dan kita tiba di mana?
sekadar terpaku di antara ungu dan biru
sedang di belakang
tiada apa-apa lagi selain
negeri asing dikabusi jerebu
kalau suara resahmu
akan memukul-mukul lagi sepi
pada dinding
rumah hati emak
simpan airmata. pejam kelopaknya
sebatang jalan lain terbentang di sana:
kita akan segera dewasa dan tua
seperti emak juga
(Nokturnal, Kata Pilar 2018)
Secara personaliti Karim mudah dikenali. Kalau dia hadir di tengah khalayak - cari saja remaja kurus berambut ikal; berkemeja kain kapas kotak-kotak.
Atau, kenali karektornya pada kasut kanvas lusuh dan seluar jeans 'boot cut".
Dia manusia paling senyap di tengah majlis yang riuh. Karim orang paling beku mendengar dalam perbualan yang rancak dan hingar-bingar.
Karim bekasan Minggu Penulis Remaja (MPR) 2017. Projek tahunan Dewan Bahasa dan Pustaka yang mengumpulkan kumpulan penulis remaja elitis.
Namun, seperti seniornya Zaen Kasturi dan Rahimidin Zahari - Karim keluar daripada ovan atau periuk kukus konservatif MPR. Karim antara yang berjaya dalam batalion MPR yang gagal.
Bengkel dan turorial kolot MPR tidak mempengaruhi nada dan cara kepenyairannya. Karim dilahirkan untuk menjadi penyair - bukan penulis kakasan yang cuba diacu menjadi penyair.
Karim menulis melalui nujuman mimpi di luar tidurnya. Deria kepenyairannya punya laduni antara akal dan jiwa dalam diri sendiri.
Anak muda penyengap ini memang pemimpi yang menyihir realiti.
Baca sajak ini:
Hari-Hari Tanpa Mimpi (4)
semua penghuni kota berarak menuju pusara
dengan pakaian hitam untuk mengebumikan diri
tiket hanya sekeping kertas tercetak angka-abjad yang
tak ingin dibaca penumpang sebuah bas atau gerabak
kepingan akhbar dari bawah tapak kasut pejalan kaki
melayang ke tengah laluan untuk terus dipijak lagi
dedaun kering meleper, itu petugas kebersihan
membongkokkan badan, menyapunya ke dalam api
dapatkah kita bertemu lagi di taman bunga sebuah kota sibuk
memperkatakan segala sesuatu tentang dunia selain sajak?
di tengah kota terhampar sebidang tilam
segala leher yang merindukan bantal – dipatahkan.
(Nokturnal, Kata Pilar 2018)
Baca puisi-puisi Karim. Anda akan ketemu titik awal sejarah perjalanan penyair yang bakal meninggalkan kesan besar pada sastera Malaysia.
Ketika ini semua perancangan KLWBC 2020 sedang menyesuaikan diri dengan perubahan.
Namun, itu bukan bererti kecintaan pada buku dan minat membaca perlu dimasukkan ke peti sejuk beku.
Proses membaca perlu kekal abadi. Buku kekal menjadi sember denyutan nadi yang menghidupkan minda negara bangsa.
Ketika berkurung ini juga, bacalah puisi-puisi Chairil Anwar. Jiwa pasti terdenyut oleh 70 puisi yang terhasil oleh tangan si penunggang kuda semberani.
Atau baca antologi puisi Nokturnal. Kenali penyair muda hebat Karim Mohd. Remaja yang menunggang hidup sebagai pria pesimis tetapi berjiwa romantis.
Saya tetap percaya; Karim jelmaan Chairil. Dua nama dalam satu jiwa. Dua semangat yang membara; satu polos dan liar - satu lagi nihilis dalam diam.
Bacalah Nokturnal - anda bakal menjadi antara pembaca yang terawal mengenal karya dan sejarah lahirnya seorang penyair muda yang bakal menjadi sasterawan besar kita.
_________________________________________________________________________
Zainal Rashid Ahmad merupakan wartawan dan penulis sastera. Beliau telah banyak novel antaranya Hikayat Tanah Jauh (2015), kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014) dan lain-lain.
Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.
Zainal Rashid Ahmad
Mon Mar 30 2020
Karim kelihatan seperti makhluk Marikh yang sesat di Bumi. Atau manusia Pluto yang kehilangan identiti. - Gambar Karim Mohd
Skim galakan guna motosikal elektrik MARiiCas hampir capai sasaran 2024 - MARii
Inisiatif Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik (MARiiCas) terbukti mendapat sambutan dan hampir mencapai sasaran yang ditetapkan bagi tahun ini.
Lebih 90 peratus usahawan belum manfaatkan e-Invois
Majoriti atau dianggarkan lebih 90 peratus usahawan, terutama yang berpendapatan tahunan RM25 juta ke bawah, masih belum memanfaatkan sistem e-Invois yang mula diperkenalkan pada 1 Ogos lepas.
Wanita 19 tahun korban keenam keracunan arak metanol
Pelancong wanita warga Australia yang dirawat akibat keracunan metanol di Vientiane, Laos, telah disahkan meninggal dunia pada Jumaat.
Ini menjadikan jumlah mangsa yang terkorban akibat minuman keras beracun itu meningkat kepada enam individu, lapor kerajaan Thailand dalam kenyataan.
Ini menjadikan jumlah mangsa yang terkorban akibat minuman keras beracun itu meningkat kepada enam individu, lapor kerajaan Thailand dalam kenyataan.
Pertabalan Raja Charles telan kos hampir RM424 juta
Pertabalan Raja Charles menelan belanja sebanyak 72 juta pound (hampir RM424 juta).
Aktivis tuang baja di Pejabat Kementerian Dalam Negeri Itali
Di Rom...pejuang iklim diketuai extinction rebellion pada Jumaat ada cara tersendiri untuk memperjuangkan kesihatan planet bumi khusus dengan perubahan iklim global yang semakin merosot.
Kualiti udara di New Delhi menjunam ke paras berbahaya
Kualiti udara di New Delhi India terus menjunam ke tahap berbahaya setakat Jumaat mengakibatkan rutin harian penduduknya terjejas selain risiko kesihatan yang terus meningkat. Berdasarkan angka indeks kualiti udara (AQI) oleh agensi pemantau kesihatan udara berpangkalan di Switzerland IQAir, kualiti udara di bandar itu terus merosot pada angka 545.
AS8.5 bilion komitmen diperoleh daripada syarikat UK
Indonesia meraih komitmen pelaburan sebanyak 8.5 bilion dolar Amerika daripada 19 syarikat terkemuka United Kingdom (UK) semasa lawatan Presiden Prabowo Subianto ke negara itu.
Polis UK laksana 'letupan terkawal' pada bungkusan misteri
Polis United Kingdom (UK) pada Jumaat bergegas ke Kedutaan Amerika Syarikat untuk melaksanakan prosedur letupan terkawal susulan penemuan bungkusan mencurigakan di perkarangan pejabat itu. Polis Metropolitan London menerusi laman media sosial X pada Jumaat mengesahkan bunyi letupan kuat yang didengari di kawasan itu adalah merupakan hasil dari proses letupan terkawal yang dilaksanakan anggota-anggotanya.
Bangunan di Lubnan runtuh akibat ledakan tepat misil Israel
Tentera rejim Zionis Israel pada Jumaat meletopkan sebuah bangunan yang terletak di Chiyah, di selatan Beirut dalam siri keganasan terbaharunya di Lubnan. Dalam visual menggerikan yang dikongsikan oleh Reuters menyaksikan orang ramai menjerit ketakutan serta terkejut dengan ledakan misil yang berlaku amat pantas.
Makaf sasar sembilan pingat emas Sukan SEA 2027
Skuad karate negara sedang mengatur strategi sebagai persediaan Malaysia menjadi tuan rumah temasya Sukan SEA 2027 dengan sasaran sembilan pingat emas.
Presiden Persekutuan Karate Malaysia (Makaf), Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, pencapaian pada 2001 di Kuala Lumpur perlu dijadikan sandaran berbanding kutipan enam pingat emas ketika temasya 2017.
Presiden Persekutuan Karate Malaysia (Makaf), Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, pencapaian pada 2001 di Kuala Lumpur perlu dijadikan sandaran berbanding kutipan enam pingat emas ketika temasya 2017.
KLWBC2020: Si anarkis Chairil Anwar dan si romantis Karim Mohd
Karim sasterawan muda yang muncul dengan watak kepenyairan yang anarkis; tetapi romantis.