SAYA selalu berharap Sabri Yunus menjadi novelis. Rimbun pengalamannya sebagai anak desa yang membesar di Kampung Landak, Pengkalan Chepa sangat menarik.
Apa lagi segala macam memori pergaulan rapatnya dengan kaki pukul dan geng gedebe. Sabri sejak awal remaja membesar dengan obsesi pada watak-watak hitam di pekan Pengkalan Chepa hingga ke tanah Siam di seberang Sungai Golok.
Pengalaman empat puluh tahun lalu dengan latar manusia dan lokasinya, kini hampir terpadam. Memorinya hanya ada dalam ingatan Sabri. Semua itu wajar dinovelkan.
Sabri memiliki kolaj memori yang unik. Ingatannya mampu merakamkan begitu banyak detil realiti masa lampau. Terutama watak-watak unik orang gedebe di dua tebing Sungai Golok.
Kolaj memorinya penuh dengan kisah dunia penjenayah bedil (pistol) dan kapak Siam, kisah penggila arak dan pelacuran serta kaki dadah dan perjudian.
Sabri akhirnya menulis juga. Cuma sayangnya bukan novel atau memoir. Pada 2018, rakaman realiti dunia ganas orang gedebe di sempadan dipindahkan ke skrip drama TV.
Sabri anak Penghulu Yunus, memindahkan watak-watak gedebe secara humor dan humanisme.
Kerja seni ini mencetuskan fenomena melalui drama TV 'master piece' berjudul 'Pok Ya Concodei' (2018) dan sekuel 'Siti di Hati' (2019).
Sabri memilih untuk menulis skrip dan mengarah drama ini, malah, melakonkan watak Pok Ya Concodei.
Secara humor dan humanisme, drama ini memaparkan dunia gedebe dalam naratif watak hitam putih 'orang jahat tapi baik hati'.
Pok Ya Concodei bukan watak rekaan. Watak itu gabungan begitu banyak wajah-wajah gedebe di Pengkalan Chepa sampai Pekan Golok yang pernah ditemui Sabri ketika remaja.
Sabri meninggalkan kampung halaman pada 1982 (usia 21 tahun) lalu menuju Kuala Lumpur. Dirinya ingin menjadi seseorang; melangkaui 'title' seniman kampung.
Pada usia itu, bakatnya hanya melukis dan mahu bergelar kartunis. Pada dekad 80-an ketika zaman komik humor sangat berkembang pesat - menjadi kartunis ertinya bergelar superstar.
Sabri dan lingkungan sasterawan
Di Kuala Lumpur, Sabri membesar di sekitar lingkungan penulis dan sasterawan hebat. Pengalaman bekerja di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selama 11 tahun (1982-1993) mendedahkan Sabri pada potensi sangat besar untuk bergelar penulis.
DBP pada zaman emasnya waktu itu, ada Usman Awang, Johan Jaafar, Anwar Ridhwan, Kemala, Zakaria Ariffin dan Sutung Umar RS. Semuanya rakan pergaulan Sabri.
Cuma, di DBP tugas harian Sabri sebagai pelukis dan kartunis. Selebihnya, mencipta nama sebagai anak Kelantan yang dikenali ramai melalui watak-watak utama dalam teater terbitan DBP.
Pada dekad 80-an - teater digilai ramai. Pementasan drama yang hebat seperti Tok Selampit, Pentas Opera, Menunggu Kata dari Tuhan, Matinya Seorang Pahlawan dan Al Amin boleh pecah panggung selama seminggu dipentaskan.
Sabri ialah 'Tok Selampit' (1985) karya Anuar Nur Arai dan arahan Zakaria Ariffin. Teater DBP ini mewakili Malaysia dalam First Asean Theater Festival di Manila (1987) dan Malaysia Fest (1988 dan 1989).
Sabri juga Osman Bombay dalam drama Pentas Opera (1989) yang dikenang peminat teater sebagai pementasan komedi tragedi terbaik di negara ini.
Watak-watak hebat ini menjadikan nama Sabri berada dalam senarai atas pelakon pentas era itu. Nama Sabri tidak rendah berbanding Rahim Razali, Ahmad Yatim, Ahmad Tarmimi Siregar dan Mustafa Nor.
Teater Pentas Opera (1993), menjadikan nama Sabri semakin gah. Kejayaan sebagai 'Osman Bombay' mengukuh biografinya sebagai pelakon komedi pentas terbaik.
Selebihnya, selepas itu semuanya hanya sejarah. Sabri meninggalkan DBP pada 1993 dan menyertai industri filem dan drama TV sebagai artis sepenuh masa.
Berlalulah era seniman marhaen di pentas teater. Harapan melihat Sabri menjadi novelis turut dikalihkan takdir.
Kejayaan sitcom Pi Mai Tang Tu yang bersiaran sebagai siri komedi TV nombor satu selama dua belas tahun (1992-2004) di TV3 menjadikan watak Wan Ismail Golok berada di puncak.
Dunia komedi TV turut mengangkat nama Sabri sebagai Pelakon Lelaki Komedi TV Terbaik Anugerah Seri Angkasa (2005).
Malah, sebelum itu Sabri sudah 'tapau' tiga kali anugerah Pelakon Komedi Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular (1993/1996/2000).
Sejak 1990, Sabri berlakon lebih 20 filem bermula 'Driving School' arahan Othman Hafsham hingga ke filem One Two Jaga (2019) arahan Namron.
Sebagai pengarah pula, Sabri berada di puncak kerjaya apabila menerima anugerah berprestij sebagai Pengarah Terbaik. Dramanya 'Sanggul Beracun' turut meraih award Filem TV Terbaik Anugerah Skrin 2011.
Walaupun mula mengarah drama TV pada usia 50 tahun, Sabri meninggalkan jejak yang besar dalam industri drama tempatan.
Kejayaan filem TV 'Sanggul Beracun' membuktikan Sabri layak berada di puncak karya kreatif di luar genre komedi.
Dunia magis di meja kopi
Sabri Yunus orang yang paling menarik kalau berbual di meja kopi. Pada tahun 1998 hingga 2002, pertemuan yang kerap di Warung Bucu berdekatan DBP antara period yang paling mengaspirasikan saya.
Saya menulis banyak cerpen humor magis kerana itulah tajuk yang kami bualkan. Setiap kali pulang, idea perbualan menghasilkan cerpen. Saya menulis lebih 20 judul humor berdasarkan judul hantu.
Sebahagian besar datang dari sembang kelakar ketika bertemu Sabri. Hantu dan unsur mistik adalah jenaka yang selalu kami humorkan di meja kopi.
Alam kanak-kanak dan remaja di kampung mendedahkan kami pada pengalaman membesar dalam parameter kejiranan yang taasub pada unsur mistik. Sabri membesar di Pengkalan Chepa - di lokasi di mana dunia magis Melayu masih menebal dalam kesenian rakyat dan ilmu batin para gedebe.
Saya membesar di kalangan saudara-mara yang percaya salasilah moyang-poyang kami mempunyai pertalian dengan bunian Gunung Jerai.
Anehnya, saya dan Sabri memandang sepele (remeh) dan memperlekehkan kepercayaan mistik yang tidak masuk akal itu.
Sabri watak yang menarik secara individu. Dia bukan saja membesar dalam persekitaran mistik dan magis, tetapi terdedah pada ritual budaya seni di Kelantan.
Sejak kecil, Sabri obses pada alam wayang kulit, tok selampit dan main 'petri'.
Di meja kopi, berbual secara serius dan menghumorkan hantu bersama Sabri, membuatkan saya selalu terilham menulis cerita pendek mengenainya.
"Kadang yang hantu sebenar ialah bomohnya. Akal nampak pendek, tapi tangan panjang dan pandai mencekau duit orang," kata Sabri.
Kami bertukar-tukar banyak cerita mengenai dunia mistik di desa masing-masing.
Dari kisah wanita tua membela pelesit di kampung saya yang memandikan hantunya tiap maghrib hari Khamis, sampailah ke bomoh jodoh yang ditemui Sabri sebelum berkahwin.
Semua cerita ini separuh serius ketika dibualkan, dan menjadi separuh lelucon apabila tiba di hujungnya.
Kami boleh berbual hal hantu dalam sampai jam 3 pagi; menghabiskan bercawan-cawan teh tanpa jemu.
Sabri ada tiga sumber cerita yang menakjubkan kalau diajak berbual.
Pertama, dia membesar dalam budaya seni di pedalaman yang sangat kuat unsur magisnya.
Kedua, dia berkawan dengan segala macam samseng di sepanjang Sungai Golok. Malah, di kedua-dua tebing kedesaan Kelantan-Narathiwat.
Sabri ada ciri-ciri menjadi kepala samseng. Sebab bakatnya ketara sejak awal remaja. Dia mahir bergaul, cepat menyesuaikan diri dengan gedebe dan samseng.
Ketiga, Sabri obses pada sejarah yang dikaburi unsur mistik. Dia boleh berkelana ke sana-sini menjejak tapak-tapak bersejarah yang dikaitkan dengan unsur magis.
Dia sanggup berkendera atau berjalan kaki meredah hutan mencari tapak kubur lama yang menggali cerita sebenar mengenai unsur magisnya.
Namun, bakat jahat dan obses magis tidak mempengaruhi kehidupan sebenar. Sabri lebih kepingin jadi seniman.
Buku dan pengaruhnya pada Sabri
"Bang, buku apa yang mempengaruhi hidup sebagai pembaca?" Tanya saya melalui WhatsApp.
"Waktu umur sembilan tahun saya dah baca novel. Pada umur belasan tahun, terjumpa novel Bulan Merah Di Tiga Kuala, karya Zahari Afendy dan saya rasa ada kelainan," jawab Sabri.
Novel itu kata Sabri, memiliki gaya penulisan dan pengucapan yang terasa 'air Kelantan'.
"Latar cerita novel itu saya kenal dan tahu nama-nama tempatnya. Saya orang Pengkalan Chepa memang jauh dari Pahi, Peria dan Manek Urai yang terletak di Ulu Kelantan. Tapi orang kampung saya ada yang 'ambil tanah hutan' di situ," kata Sabri.
Pada 1982, Sabri terjumpa novel Juara di perpustakaan DBP, karya Sasterawan Negara S. Othman Kelantan.
"Cerita dan latarnya lebih dekat dengan saya. Dunia di Pengkalan Chepa dan Selatan Thai adalah latar hidup saya. Watak-watak dalam novel itu sangat dekat dengan peribadi yang pernah saya kenal," ujar Sabri.
Novel Juara sangat memberikan kesan. Malah, Sabri akui - novel itu hidup dalam dirinya dan memberikan pengaruh pada penceritaan dalam skrip-skrip drama TVnya.
Selain pengaruh membaca, minda dan ketajaman fikiran Sabri didewasakan dengan pengaruh bergaul dengan penulis dan sasterawan.
"Saya rasa bertuah dapat mengenali semua Sasterawan Negara. Anwar Ridhwan antara yang dekat dan akrab. Barangkali kerana kami bekerja di DBP," katanya.
Sabri mengagumi Anwar kerana novel 'Hari Hari Terakhir Seorang Seniman' yang dibaca ketika remaja.
Bonus terhebat pula, apabila menyertai teater DBP, drama adaptasi novel itu juga jadi skrip lakonan pentasnya yang pertama.
Sabri obses pada karya-karya berlatarkan Kelantan. Terutama latar tempat dan diskripsi watak yang dirasakan pernah atau sempat dikenalnya.
"Saya suka novel 'Orang Kota Bharu karya S Othman Kelantan kerana paparan pertembungan nilai dan budaya serta sikap dan pemikiran orang Kelantan," jelasnya.
Novel ini mencipta hitam putih latar Kelantan yang contradict. Antara warna putih bergelar Serambi Mekah dengan warna hitam digelar Paris Malaya.
Sebagai pembaca, Sabri yang hampir menjadi gedebe - sebenarnya berjiwa sentimental.
"Tiap novel yang dekat dengan diri saya, pasti ada halaman yang basah dengan air mata. Bukan setakat bergenang tetapi sampai teresak tersedu," jelasnya.
Katanya, itulah magisnya sebuah novel. Sihirnya membuatkan hati mudah tersentuh. Menghayati novel Hartini karya Aziz Afkar paling teruk mendera proses pembacaan Sabri.
"Saya mula baca pukul 2 petang, lepas balik sekolah dan sampai 5 petang.
"Kemudian pergi ke padang main bola dengan mata bengkak kesan menangis," katanya.
Saya membaca jawapan WhatsApp Sabri dengan tawa berdekah-dekah. Inilah bekas calon ketua gedebe.
Hahahaha.
Sebenarnnya, jiwa halus itulah yang menyelamatkan Sabri dari dunia gedebe Sungai Golok.
"Tiap kali bersedih, baru saya faham perasaan Jebat yang mengamuk dan membunuh satu Melaka hingga memburai air mata. Saya jadi faham isi hati Jebat tiap kali novel merampas air mata saya," katanya.
Itulah Sabri yang selalu saya harapkan menjadi novelis. Harapan pada satu hari Sabri menulis novel pengalamannya membesar di kampung.
Alam remajanya yang bergulat dengan samseng bedil dan kapak Siam.
Saya menyimpan semua kisah itu dalam ingatan. Harap semuanya tidak menghilang. Apa pun, saya mahu kisah itu dibaca ramai orang melalui novel yang ditulis seorang buku hidup bernama Sabri Yunus.
* Zainal Rashid Ahmad merupakan wartawan dan penulis sastera. Beliau telah banyak menulis novel antaranya Hikayat Tanah Jauh (2015), kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014) dan lain-lain.
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.
Zainal Rashid Ahmad
Mon Apr 27 2020
Sabri Yunus memiliki kolaj memori yang unik, kata penulis. - Foto: Facebook / Sabri Yunus
Empat lubang benam dikesan di Jalan Gua Musang-Lojing
Sebanyak empat lubang benam (sinkhole) dikesan berlaku di laluan Kilometer 78, Jalan Gua Musang-Lojing, Gua Musang, Kelantan setakat ini.
Apple tidak pernah rancang pelan berbayar untuk Apple Intelligence
Tim Cook menyatakan bahawa Apple tidak merancang untuk mengenakan bayaran kepada ciri-ciri AI, melihatnya sebagai revolusi teknologi seperti skrin sesentuh.
150,000 naskhah al-Quran rosak akibat banjir akan dilupuskan
Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjangkakan mengumpul kira-kira 150,000 naskhah al-Quran rosak akibat banjir di Kelantan, Terengganu dan Kedah untuk dilupuskan mengikut syarak.
Hospital kerajaan terbeban jika M40 batalkan polisi insurans
Kenaikan kos rawatan hospital swasta berpotensi memberi ancaman kepada sistem kesihatan awam sedia ada susulan peralihan golongan pertengahan M40 yang membatalkan polisi insurans akibat kenaikan harga premium insurans.
Menurut Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin keadaan itu boleh berlaku susulan peningkatan beban jumlah pesakit ke hospital kerajaan.
Menurut Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin keadaan itu boleh berlaku susulan peningkatan beban jumlah pesakit ke hospital kerajaan.
Pengangkutan awam: Koc wanita diperluas ke laluan Ampang/Sri Petaling
Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) selaku pengendali perkhidmatan rel Rapid KL akan melaksanakan inisiatif koc wanita di Laluan Ampang/Sri Petaling bermula 31 Disember 2024.
[TERKINI] Kes CEO GISB, 21 ahli dibawa ke Mahkamah Tinggi Shah Alam
Wartawan Astro AWANI melaporkan secara langsung kes 22 ahli termasuk Ketua Pegawai Eksekutif GISB Holdings Sdn Bhd, Nasiruddin Mohd Ali yang dituduh di Mahkamah Sesyen Selayang Oktober lalu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam sebagaimana diputuskan Hakim Lailatul Zuraida Harron @Harun.
Perlu akta khusus kawal caj hospital swasta - MP Bayan Baru
Kerajaan perlu menggubal akta khusus untuk mengawal caj rawatan tinggi yang dikenakan kebanyakan hospital swasta.
Menurut Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin langkah itu penting bagi memastikan kos rawatan ditetapkan pada kadar munasabah.
Menurut Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin langkah itu penting bagi memastikan kos rawatan ditetapkan pada kadar munasabah.
Prabowo demam, mohon pertemuan dengan Anwar ditangguh
Anwar menerusi perkongsian di laman media sosialnya berkata, Prabowo memohon untuk menangguhkan pertemuan tersebut kerana mengalami demam.
EPL: Di mana sahaja saya tamatkan karier, saya akan gembira - Mohamed Salah
Dua gol dan dua bantuan gol oleh Salah memastikan Liverpool terus mengukuhkan kedudukan mereka sebagai pendahulu EPL.
OpenAI umum model 'o3', versi baharu dengan kebolehan penaakulan
Model o3 kini hanya dibuka kepada para pengkaji keselamatan kecerdasan buatan, dengan model o3-mini dijangka tersedia kepada umum pada Januari 2025.
Drama Jepun 'Shogun' cipta sejarah, rangkul 18 trofi di Anugerah Emmy ke-76
Shogun turut memenangi Siri Drama Terbaik dalam anugerah itu, juga siri drama bukan Bahasa Inggeris pertama memenangi kategori berkenaan.
Perlu strategi tepat, karya yang betul untuk tembusi pasaran Indonesia - Erma Fatima
Erma percaya strategi yang mantap, selain karya yang betul dan berkualiti adalah kunci untuk menjayakan misi tersebut.
Plot twist macam K-drama! Ramai resah tunggu episod akhir One Cent Thief
Mungkin ramai tidak menyangka watak Kadak lakonan Amerul Affendi yang kononnya selama ini membantu Iman rupanya pengkhianat!
'Imperialisme' punca New Zealand tamatkan program Shakespeare di sekolah
Program itu dikatakan gagal menunjukkan kaitan dengan "konteks seni kontemporari" dan tertumpu pada genre "berkaitan imperialisme."
Penggiat seni dipelawa buat penggambaran di Perak
Jika filem Pasir Salak-King of The River diteruskan, ia sudah tentu menjadi satu lagi berita baik untuk sektor pelancongan di negeri ini.
Yadim bantah, kesal penularan klip babak 'panas'
Soal tanggungjawab terhadap mesej yang ingin disampaikan melalui setiap karya seni perlu menjadi perhitungan utama.
Bahasa Turki antara pilihan rakyat Malaysia untuk dimahiri
Nur Afifah Nasir menggambarkan bahasa itu sebagai bahasa cinta, kuno dan klasik moden.
Finas ingatkan syarikat produksi patuhi SOP penggambaran Fasa Dua PPN
Syarikat produksi mesti melaksanakan penggambaran luar yang terasing, terhad dan terkawal mengikut Protokol Gelembung Penggambaran di negeri Fasa Dua PPN.
Segerakan program imunisasi berkelompok untuk penggiat industri kreatif
Dalam keadaan tanpa vaksinasi pasti sukar bagi stesen atau penerbit luar untuk membuat dan membekalkan program baharu kerana risiko jangkitan akan berlaku.
PKP: Penggambaran filem, drama dalam studio dibenarkan, pawagam tidak dibenarkan - Finas
Aktiviti itu dibenarkan dengan jumlah kru minimum tanpa penonton, selain perlu membuat permohonan SPP Khas dan tertakluk kepada SOP Industri Kreatif.