KALAU bercakap mengenai buku - saya mengimpikan sesi melepak dengan tokoh politik; berbual soal buku merentasi isu politik partisan.
Malah, kalau ada pilihan - tentunya saya mahu melewati waktu berbual dengan tokoh-tokoh pilihan.
Kalau bertemu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad - saya akan bertanya secara investigatif: "Apakah pesona yang Tun perolehi ketika membaca buku A Street Cat Named Bob (ASCNB)?".
Sudah tentu amat berharga kalau dapat mendengar komen seorang negarawan yang menghabiskan cuti Disember 2018, membaca biografi kisah gelandangan dan kucingnya.
ASCNB ialah catatan James Bowen - penagih dadah dan pemuzik jalanan yang putus asa dan hidup di lorong-lorong dan tangga apartmen sekitar kota London.
Dunia Bowen berubah apabila bertemu seekor kucing jalanan yang cedera dinamakan Bob.
Selain merawat dan mengisi kesunyian hidup seekor kucing jalanan - pengalaman bersama Bob turut mengaspirasikan kehidupan baharu buat Bowen sendiri.
Dari kisah ketagihan eroin dan metadon, Bowen berjuang mengubah kehidupannya.
Semuanya demi survival seekor kucing jantan berwarna kuning keemasan.
Dr Mahathir pasti punya sebab yang cukup mendalam apabila memilih buku ini.
Bowen bekas penagih dadah dan pemuzik jalanan yang bergelandangan.
Bukunya diterbitkan pada 2012 dan difilemkan pada 2016.
Apabila negarawan seperti Dr Mahathir memilih membaca kisah manusia kecil di jalanan kota London tentu ada magis luar biasa pada buku ini.
Kalau bertemu Datuk Seri Hadi Awang pula - tentulah saya mahu minum kopi dan berbual mengenai novel Lorong Mirdaq karya Naquib Mahfouz.
Saya mahu bertanya: "Apakah Tuan Guru juga berpandangan prejudis terhadap sikap dan ideologi kesasterawanan Mahfouz yang dituduh liberal dan anti Islam?"
Saya tahu Hadi sangat suka membaca. Genre bacaannya merentas kepelbagaian budaya dan gaya pemikiran.
Saya mahu tahu, sebagai pembaca: Apakah pandangan Hadi terhadap novel Lorong Mirdaq (terbitan 1947) yang kontroversi itu.
Kalau ketemu Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan pemimpin ini punya waktu berborak soal buku - tentu sangat mengujakan.
Guan Eng pasti mempunyai pandangan yang kritis terhadap buku The World Is Flat (TWIF) tulisan Thomas Friedman.
Friedman dianggap ahli ekonomi paling berpengaruh dekad ini. TWIF adalah karya rentas kajian mengenai tabiat jahat kapitalis.
Friedman mengasah fikiran pembaca untuk melihat manipulasi pemodal yang membelenggu kehidupan pengguna di seluruh dunia.
Buku setebal 488 halaman ini mengisi dekad pertama alaf 21 dengan teguran dan kritikan yang penuh kejujuran serta kejutan.
TWIF mendedahkan betapa manusia dimangsakan secara jahat oleh struktur ekonomi kapitalis yang tidak terkawal.
Sebagai Menteri Kewangan, saya percaya - Guan Eng pasti membaca TWIF kerana ia dianggap buku "paling jernih" dan memberikan pencerahan mengenai kelicikan ekonomi kapitalis.
* KLWBC 2020: Jom bercakap soal buku
Tahun ini - politik akan terus meregang dan menegang. Mana mungkin politik menemukan titik kendurnya.
Cuma, harapan kita tentu lebih besar, menagih iklim politik turut meraikan kewujudan Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia (KLWBC).
Tahun ini, kita berharap negarawan dan rakyat marhaen secara insklusif taasub pada buku dan meningkatkan minat membaca.
Politik tidak mungkin menyatukan kita. Namun, menjadikan KLWBC 2020 sebagai penanda simbolik penyatuan sikap terhadap buku dan ilmu bukanlah hal mustahil.
Politik boleh menyatukan kita dalam semangat KLWBC 2020.
Kebersamaan ke arah membina negara bangsa yang cintakan buku dan ilmu.
Kuala Lumpur akan memulakan kempen menyelak jendela WBC pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala
jendela WBC pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) mulai 27 Mac hingga 5 April ini.
Pasti rentak perbukuan PBAKL akan berubah. Simbolik 2020, ialah kita menjadi hos global bagi pemusatan minat terhadap perbukuan dan pembacaan.
PBAKL punya naratifnya yang tersendiri; sejarah dan keunikan serta pengaruhnya terhadap pecinta buku sudah merunut selama empat dekad di negara ini.
Bermula sejak 1981 - PBAKL 2020 kali ini akan menjangkau usia 39 tahun. Usia yang menggambarkan kematangan dan kegagahan luar biasa.
PBAKL ke-39 akan berwajah KLWBC 2020. Statusnya menjadi jendela yang mengangkat tirai dan memaparkan imej Kuala Lumpur sebagai ibu kota dunia.
Naratif khas dengan titik baharu perabadan buku.
Angka pengunjung PBAKL tahun ini juga pasti melangkau melebihi sejuta orang.
Sebagai orang lama industri buku, Pengarah Majlis Kebangsaan Buku Malaysia (MKBM), Khir Ngadiron pasti ada strategi "kilas lengan" bagi menjadikan PBAKL tahun ini lebih histeris.
Buku harus "melaung" dan pembaca mesti "meraung" kerana PBAKL tahun ini dijalankan pada detik Kuala Lumpur menjadi kota ke 20 bertaraf WBC.
Ini pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan PBB (UNESCO).
KLWBC bukan sembarangan. Status ini satu indeks baharu dalam perwajahan Kuala Lumpur.
KLWBC menjadikan Kuala Lumpur setaraf Madrid, Montreal, Turin, Amsterdam, Busan dan 14 ibu kota lain yang sudah terpilih sejak 2001.
* Si gila buku tidak pernah gila!
U-Wei Saari menyewa rumah kedai dua tingkat di Temerloh, Pahang. Ruang seluas 20 kaki kali 60 kaki - menjadikan pekan kecil di kampung kelahirannya sebuah rumah mewah kepada ribuan buku koleksinya.
U-Wei menganggap koleksi bukunya sebagai harta. Buku dalam simpanan U-Wei bukan wang tunai yang melabakan untung material.
Pengarah sohor ini menganggap: "Dirinya buku dan buku itu dirinya."
"Aku baca buku sejak remaja. Sampai sekarang aku berkelahi dengan buku-buku yang pernah dibaca waktu muda. Setelah berusia, banyak buku yang aku setuju pada waktu dulu - kini jadi musuh oleh pandangan berbeza," kata U-Wei.
Bersembang dengan U-Wei mengenai buku tidak akan pernah ada senja.
Soal buku kalau dibualkan dengan U-Wei menjadikan siang terasa panjang walaupun bulan sudah mengambang di atas kepala.
U-Wei pecinta buku. Dari Barat ke Timur, pengarah filem terkenal berkelas Asia ini mempertahankan buku-buku melebihi filem-filemnya.
Januari dan Februari tahun ini, U-Wei "bertapa" di Temerloh.
Pengarah "Kaki Bakar" ini sedang menyiapkan buku baharunya. Pasti judul ini akan dilancarkan pada PBAKL 2020.
Sebagai ulat buku - pasti buku U-Wei akan menghisteriakan pembaca dan peminatnya!
U-Wei berusia 66 tahun dan dibesarkan dengan kegilaan pada buku-buku sastera berkelas dunia.
Dia mewarisi zaman elit pembacaan di mana expose karya sastera yang hebat merujuk pada sastera Barat.
Tapi anehnya, U-Wei tahu semua karya hebat novel Melayu.
Itu yang mengejutkan. Namun, apalah anehnya. Si penggila buku memang bersikap tidak prejudis terhadap sempadan bahasa dan bangsa.
Tiga kali ganda lebih muda berbanding usia U-Wei ialah penulis muda Karim Mohd.
Anak muda berusia 22 tahun ini kelahiran Setiu, Terengganu.
Karim penyair muda yang hebat. Antologi Nokturna yang diterbitkan pada 2018 adalah Pemenang Utama Sayembara Menulis Puisi Kata Pilar 2017/2018.
Puisi Karim memang menyerukan. Membacanya membuatkan kita lupa penulisnya baru berusia 20 tahun ketika menyiapkan antologi ini.
* Karim dan generasi buku milenium
Karim manifestasi semula imaginasi gelap dan liar era Iwan Simatupang (1928-1970).
Karya Iwan menang terasa "gelap dan gila" melalui kumpulan cerpen Tegak Lurus Dengan Langit (terbitan Sinar Harapan 1982).
Iwan sangat paradoks dengan falsafah nihilis dekad 60-an yang dipengaruhi kuasa hippies "The Flower Power".
Iwan, DNA penulis yang lahir hasil ledakan ideologi "The Angry Young Men".
Karim pula penyair alaf 21. Karyanya muncul selepas 70 tahun Iwan meninggal dunia. Namun, paradoksnya buku Nokturna meneruskan singkapan betapa "gelap dan gila" dunia pasca moden.
Karim menulis suara generasi milenium yang serba rimas dan beringas kerana sindrom ambigius.
Karim walaupun 31 tahun lebih muda - menjadi katalis setiap kali saya merujuk perkembangan buku kontemporari.
Generasi Karim memiliki budaya zine genre penerbitan berbentuk separa buku.
Wujudnya generasi Karim menjadikan KLWBC 2020 bukan semata-mata soal membuku dan membaca.
Sebaliknya menyingkap jendela menuju masa depan perbukuan Malaysia.
Kuala Lumpur akan turut merentas jalan untuk masyarakat buku tempatan mengenali penulis generasi muda.
DNA generasi Karim akan terus mengisi legasi perbukuan tempatan.
Mana mungkin buku hadir tanpa penulisnya.
Kita berharap KLWBC 2020 bukan semata-mata manifestasi festival dan temasya yang dipenuhi timbunan buku.
KLWBC 2020 juga platform memunculkan hero-hero baru generasi penulis muda.
Tanpa melahirkan penulis, ladang buku akan kontang tanpa pohonnya.
Jom kita gila buku pada KLWBC 2020.
Begitu banyak cabaran dan harapan menanti kita semua.
Cabaran terbesar tentulah meraikan budaya membaca dan menyebarkan buku sebagai pemangkin minda bangsa.
* Zainal Rashid Ahmad merupakan wartawan dan penulis sastera. Beliau telah banyak novel antaranya Hikayat Tanah Jauh (2015), kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014) dan lain-lain. Zainal Rashid Ahmad juga pernah memenangi 38 hadiah sastera.
** ** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.
Zainal Rashid Ahmad
Tue Jan 28 2020
Politik tidak mungkin menyatukan kita. Namun, menjadikan KLWBC 2020 sebagai penanda simbolik penyatuan sikap terhadap buku dan ilmu bukanlah hal mustahil. - Gambar hiasan
Tsunami 20 tahun: Aceh siap siaga dengan ilmu bencana dan kearifan lokal
Tsunami yang melanda aceh pada 26 Disember 2004 meragut lebih 130 ribu jiwa, menghancurkan rumah-rumah, infrastruktur awam, serta merta mengubah cara hidup masyarakatnya.
Encyclopedia Britannica kini menjadi sebuah syarikat AI
Britannica kini menawarkan perisian pendidikan dan telah memasuki arena AI untuk terus relevan, dengan chatbot AI yang menyokong Bahasa Inggeris.
Kurangkan kemalangan melalui pendidikan berterusan
Profesor Dr Rozmi Ismail, memberitahu, insiden kemalangan jalan raya akibat kenderaan lain boleh dikurangkan melalui pendidikan atau advokasi berterusan dan aktiviti penguatkuasaan.
Contohi Jepun pantau keselamatan pemanduan kenderaan berat
Malaysia seharusnya mencontohi Jepun yang menekankan keselamatan pemanduan kenderaan berat di lebuh raya termasuk pemantuan ketat dalam kalangan pemandu.
2 maut motosikal terbabas, langgar pembahagi lebuh raya
Dalam nahas kira-kira jam 5.20 petang, penunggang motosikal itu yang juga lelaki tempatan berusia 28 tahun dan pembonceng wanita warga Singapura berumur 29 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Batik Air umum laluan baharu ke Beijing, Changsha
Batik Air mengumumkan laluan terbaru perkhidmatan penerbangannya yang menghubungkan pelancong dari Malaysia ke Beijing dan Changsha.
Nilai syarikat Apple hampiri angka AS$4 trilion
Peningkatan saham kebelakangan ini dilihat selari dengan fokus Apple dalam arena kecerdasan buatan melalui Apple Intelligence.
AWANI Ringkas: Duti anti lambakan terhadap import besi
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan sepanjang hari di Astro AWANI menerusi AWANI Ringkas.
Presiden Korea Selatan gagal hadir kali kedua untuk disoal siasat CIO
Ini adalah kali kedua Presiden Yoon gagal mematuhi arahan itu, selepas turut mengabaikan panggilan pertama CIO minggu lalu.
Pantau Belanjawan: Inflasi kesihatan meningkat, apa penyelesaian?
Ketua Pegawai Eksekutif, Angsana Health, Dr Khor Swee Kheng berkongsi pandangan beliau berkenaan inflasi kesihatan yang semakin meningkat terutama melibatkan caj di hospital swasta, sekali gus menyebabkan penyedia insurans dan takaful kesihatan/perubatan turut menaikkan harga premium.
Dalam kenangan: Perginya 5 si comel pembawa inspirasi
Kelima-lima si comel ini sudah pergi, tetapi semangat yang dibawa pastinya akan kekal di hati mereka yang menyayangi.
RIP Bob: Kucing jalanan paling popular di London kini sudah tiada lagi
Bob yang merupakan kucing peliharaan penulis buku, James Bowen yang berasal dari kota Surrey mula bertemu buat kali pertama pada tahun 2007 di London.
KLWBC 2020: Jom jadi si gila buku!
Politik tidak mungkin menyatukan kita. Namun, menjadikan KLWBC 2020 sebagai penanda simbolik penyatuan sikap terhadap buku dan ilmu bukanlah hal mustahil.