Satu lagi kluster COVID-19 di Malaysia diisytiharkan tamat melibatkan Kluster Depoh Tahanan Sementara Imigresen (DTSI) Putrajaya.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan berkata, penamatan kluster dibuat selepas 28 hari tanpa rekod kes baharu.

Kluster berkenaan merekodkan dua kes COVID-19 tanpa kes kematian.

Ia menjadikan setakat ini, sebanyak 50 kluster telah diisytiharkan tamat.

"Terdapat satu lagi kluster yang diisytiharkan tamat iaitu Kluster DTSI Putrajaya. Kluster ini melaporkan dua jumlah kes Covid dan tidak mencatatkan sebarang kes kematian. Secara keseluruhan terdapat 50 kluster diisytiharkan tutup termasuk kluster ini," kata KKM dalam satu kenyataan dikeluarkan di laman sosial Twitter dan info grafik yang diedarkan pada Sabtu.