Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) mengendalikan sejumlah 88 juta penumpang di terminal tersebut yang terdiri daripada 30 juta penumpang domestik dan 58 juta penumpang antarabangsa sejak pembukaannya pada 2 Mei, 2014.

KLIA2 dengan kapasiti mengendalikan sejumlah 45 juta penumpang setahun telah menyokong pertumbuhan trafik syarikat penerbangan tambang murah sejak tiga tahun lepas, kata Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam satu kenyataan di sini, pada Selasa.

Syarikat itu berkata selepas tahun pertama operasi pada April 2015, KLIA2 mencatatkan sejumlah 24 juta trafik penumpang. Pertumbuhan ini melonjak lebih tinggi pada 2016, yang mencatatkan kenaikan 15 peratus jumlah penumpang iaitu seramai 27.6 juta daripada tahun sebelumnya.

Suku pertama 2017 juga menunjukkan bilangan trafik penumpang yang kukuh dengan sejumlah 7.1 juta penumpang dikendalikan dengan pergerakan penumpang antarabangsa dan domestik masing-masing berjumlah 4.8 juta dan 2.3 juta.

KLIA2 juga telah melaksanakan beberapa penambahbaikan dalam tempoh tiga tahun lepas termasuk memasang tambahan 25 walkalator, menjadikan jumlah kesemuanya 42 unit, serta menyediakan perkhidmatan buggy 24 jam bagi memudahkan pergerakan penumpang, kata syarikat itu.

-- BERNAMA