KOTA KINABALU: Kementerian Kerja Raya Sabah dalam proses menstabilkan tekanan air bagi memastikan keperluan asas itu diperoleh di seluruh kawasan di negeri ini, kata Timbalan Ketua Menteri III Datuk Shahelmey Yahya.


Ringkasan AI
  • Kementerian Kerja Raya Sabah sedang berusaha untuk stabilkan bekalan air di seluruh negeri, termasuk kawasan Pantai Timur Sabah.
  • Usaha ini melibatkan pembinaan empangan air, loji rawatan air, dan pemulihan bekalan air di kawasan seperti Tawau, Lahad Datu, dan Sandakan.
  • Meskipun usaha sedang dilakukan, beberapa kumpulan masih mahu berdemonstrasi untuk tuntut penambahbaikan dalam bekalan air, walaupun polis telah memantau perhimpunan tersebut yang dihadiri oleh kira-kira 80 orang tanpa permit rasmi.


Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya negeri berkata Jabatan Air Negeri Sabah di bawah kementerian itu juga telah melaksanakan program meningkatkan tahap bekalan air bersih terutama untuk penduduk di kawasan Pantai Timur Sabah.

"Di Tawau kita sedang membina empangan (air), pembinaan loji rawatan air (LRA) di Lahad Datu dan memulihkan bekalan air di Sandakan.

"Bekalan air ini bukan bererti cakap hari ini, esok semuanya tersedia, ia memerlukan masa yang munasabah untuk dilaksanakan," katanya kepada pemberita di hadapan Menara Kinabalu di sini hari ini.

Shahelmey berkata beliau hadir di situ bagi mewakili Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor menerima memorandum daripada kumpulan perhimpunan #KamiMahuAir, namun kumpulan terbabit mahukan Hajiji menerima sendiri memorandum berkenaan.

Beliau berkata walaupun segala usaha sedang dilakukan kerajaan negeri untuk menambah baik sistem bekalan air di negeri ini, kumpulan itu masih mahu berdemonstrasi dan tidak mahu menyerahkan memorandum berkenaan kepadanya selaku menteri bertanggungjawab isu itu, justeru beliau melihat ia lebih bermotifkan politik.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Kasim Muda berkata pihaknya tidak mengeluarkan sebarang permit untuk perhimpunan itu, namun ia berjalan secara aman.

Beliau berkata polis akan membuka kertas siasatan terhadap perhimpunan itu dan akan menjalankan pemantauan dengan bilangan peserta dianggarkan kira-kira 80 orang.

"Kita boleh keluarkan kompaun (kepada penganjur), nanti kita jumpa mereka (peserta)," katanya.

Perhimpunan itu disertai beberapa pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), badan bukan kerajaan dan komuniti penduduk serta turut dipantau Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan sekumpulan peguam.

Terdahulu peserta berarak berjalan kaki kira-kira 2.5 kilometer dari UMS ke Menara Kinabalu.

-- BERNAMA