MACHANG: Isu kekurangan petugas membabitkan Kementerian Kesihatan (KKM) sedang diteliti mengikut keperluan jawatan berkenaan seperti doktor dan jururawat, kata Menterinya Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata keperluan penempatan petugas juga telah dikenal pasti supaya tidak berlaku lebihan ramai petugas di sesebuah hospital dan klinik kerajaan.

"Sebenarnya kalau kita tengok masalah kekurangan petugas ini bukan satu hospital sahaja.

"Memang kita kenal pasti ada kekurangan tetapi sedang diteliti dan kita pun ada buat 'mapping' tentang keperluan petugas terbabit.

"Kita memang mengambil berat mengenai isu ini dan tindakan segera akan diambil mengenai hal yang dikemukan," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis Penyerahan Projek Klinik Kesihatan Jenis 7 di Klinik Kesihatan Mata Ayer di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin.

Sebelum ini, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) dilaporkan berdepan isu kekurangan kakitangan kesihatan terutamanya doktor dan jururawat yang dianggarkan hampir 2,800 staf.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai masalah yang dihadapi Penolong Pegawai Perubatan (PPP) berhubung jawatan kontrak, beliau berkata pihaknya akan melanjutkan tempoh kontrak setahun lagi kepada mereka yang terlibat.

"Jika ada kekosongan kita boleh serap ke dalam perjawatan tetap, jadi buat sementara waktu kita ambil langkah melanjutkan dulu kontrak mereka," katanya.

Sementara itu, Dr Zaliha berkata lima Klinik Kesihatan Jenis 7 di Kelantan mula beroperasi pada 2 Julai depan dengan kos keseluruhan berjumlah RM32.05 juta.

Klinik terbabit adalah Klinik Kesihatan Mata Ayer dan Klinik Kesihatan Kerilla di Machang; Klinik Kesihatan Karangan dan Klinik Kesihatan Peria di Kuala Krai; serta Klinik Kesihatan Sokor di Tanah Merah.

"Kesemuanya merupakan klinik desa berstatus daif yang dinaik taraf kepada Klinik Kesihatan Jenis 7 dan bakal menawarkan perkhidmatan seperti Klinik Kesihatan Ibu dan Anak, Klinik Pesakit Luar, Rawatan Kecemasan, Makmal Perubatan Asas dan Farmasi," katanya.

-- BERNAMA