Sultan Perak bertitah mereka yang diamanahkan dengan jawatan awam perlu menjadi 'penjaga keadilan' dan memelihara negara ini untuk generasi akan datang.

Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, rakyat Malaysia hanya boleh dianggap sebagai penjaga keadilan "apabila kita sendiri mampu mewariskan negara kita ini kepada anak cucu kita dalam bentuknya yang asal - kalaupun tidak dalam keadaan lebih baik - yang kita pusakai daripada para bapa pengasas kita."

Baginda memetik kata-kata Tunku Abdul Rahman, perdana menteri pertama Malaysia, yang menjelaskan tentang warisan itu seperti berikut: "Adil di sisi undang-undang, legasi sebuah perkhidmatan awam yang cekap dan taraf kehidupan paling paling tinggi di Asia."

Baginda bertitah demikian ketika melancarkan buku bertajuk 'On Justice and The Nature Of Man' karangan ahli falsafah Islam terkenal, Tan Sri Prof Syed Muhammad Naquib al-Attas, di sini pada Rabu.

Baginda juga menyentuh tentang kata-kata Tunku mengenai prinsip sebuah sesebuah negara berdaulat dan demokratik serta usaha memperjuangkan kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

"Pada pengamatan beta, beliau menukilkan secara sempurna tentang hasil daripada tindakan kita sekiranya kita, sebagai Penjaga Amanah, menjunjung tinggi keadilan dalam semua aspek kehidupan kita, termasuk cara kita mentadbir negara kita," titah baginda.

Sambil memetik ayat-ayat suci al-Quran dan kata-kata tokoh terkemuka mengenai manusia, keadilan dan kehidupan, Sultan Nazrin bertitah: "Selagi kita bersikap jujur kepada diri sendiri dan dipimpin oleh sifat adil yang Allah ciptakan dalam diri manusia secara tabii - bahawasanya ciptaan Allah yang unik dan istimewa itu sebenarnya ialah manusia — maka usaha memburu kebahagiaan bukan sahaja akan tercapai sebagai satu daripada hak kita yang tidak boleh dipinggirkan sebagai manusia secara individu, tetapi juga kita akan mampu mencapai sebuah masyarakat yang adil dan sejahtera."

Titah baginda, Prof Syed Muhammad Naquib, dalam buku setebal 57 muka surat itu, mengulas tentang keadilan dan sifat manusia berdasarkan dua ayat suci al-Quran.

Baginda bertitah, projek sepanjang hayat profesor itu ialah untuk membuat penelitian terhadap falsafah zaman moden, meneroka, memahami dan mengaitkannya dengan tradisi Islam.