KUALA LUMPUR: Kita masih percaya bahawa sistem pendidikan yang kita warisi sejak dahulu adalah cara terbaik walhal zaman sudah berbeza dan perubahan diperlukan.

Tegas pensyarah Pusat Kajian Kesejahteraan dan Pendidikan Komuniti, Fakulti Pendidikan UKM, Anuar Ahmad, kolonialisme minda itu perlu dilawan supaya kita dapat bebas berfikir dan bertindak dengan kreatif serta inovatif untuk membentuk sistem pendidikan yang benar-benar berkesan mengikut arus perubahan semasa.

Maka sistem pentadbiran induk dalam sistem pendidikan kita hari ini yang diwarisi terasnya dari British dahulu perlu diubah dengan memberdayakan setiap sekolah untuk menguruskan hal ehwal mereka yang tersendiri.

“Kalau kita lihat guru-guru adalah kumpulan yang sangat inovatif sebenarnya, dalam keadaan pandemik dua tahun ini mereka tidak diberi latihan formal bagaimana untuk menguruskan pelajar dalam Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“Keupayaan guru beradaptasi menunjukkan mereka boleh jika diberi peluang untuk melakukan sesuatu, tapi kalau mereka masih menunggu keputusan dan arahan daripada pihak atasan yang one size fits all ini, ia menyebabkan kita lambat untuk membuat perubahan yang sesuai dengan keperluan setempat," ujarnya.

Maka sepertimana yang berulang kali pernah dinyatakannya, perubahan itu perlu dilakukan bermula dengan desentralisasi pengurusan sekolah, memperkasa guru-guru, pengetua dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk menyelesaikan semua isu operasi di peringkat sekolah masing-masing tanpa perlu menunggu ‘wahyu’ daripada Putrajaya.

Ini bukan satu eksperimen, katanya, tetapi telah terbukti di banyak negara maju di mana mereka begitu aktif dan memberi kepercayaan penuh kepada peringkat pelaksana untuk melakukan perubahan, inovasi dan mereka melakukannya dengan baik.

“Kita tidak dapat melakukannya kerana amalan (pendidikan) kita masih dalam cara-cara yang lama.

“Ini bentuk kolonialisme pendidikan, masih lagi percaya amalan yang kita warisi itu mesti diamalkan kerana itulah dianggap yang terbaik. Kita mungkin tersilap mempercayai cara-cara begitu.," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika tampil sebagai salah seorang panelis program Dialog Tiga Penjuru yang dihoskan oleh Dzulfitri Yusop. Tonton di sini:

Kita masih dikongkong kolonialisme pendidikan - Anuar Ahmad


Dialog Tiga Penjuru: 'Segalanya Bermula Di Sekolah...'