SHAH ALAM: Sebanyak 13 radio di bawah Astro Radio bergabung menjadi Kita FM yang bersiaran langsung di Setia Eco City selama 18 jam tanpa henti sehingga 12 tengah malam ini.

Ketua Pengarah Astro Radio, Priya Dharshini berkata, inisiatif itu bagi menyemarakkan semangat perpaduan dan mengukuhkan rasa kebersamaan dalam kalangan masyarakat dengan menampilkan siaran empat bahasa iaitu bahasa Melayu, Inggeris, Cina dan India.

Beliau berkongsi idea itu tercetus selepas mengimbas kembali kenangan ketika makan bersama rakan-rakan pelbagai kaum di sekolah dahulu dan menyifatkan keharmonian tersebut harus dikekalkan sehingga hari ini.

“Sebenarnya saya dan pengurusan sentiasa terfikir, dulu masa zaman sekolah kita boleh bersatu dan rapat walaupun berbeza kaum dan agama tapi bila sudah dewasa ia nampaknya agak sukar.

"Jadi saya fikir kita boleh satukan dengan Kita FM yang tampil dengan empat bahasa utama di Malaysia,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran Kita FM, di sini, pada Jumaat.

Priya turut meletakkan harapan agar Kita FM terus menjadi platform yang akan diingati seluruh masyarakat di negara ini selain ia menjadi penanda aras dalam proses membina Malaysia yang lebih baik dengan memahami erti sebenar kemerdekaan.

Kita FM menyajikan kandungan bertemakan 'keunikan Malaysia' yang merentas kaum dan agama sebagai simbol bahawa penyatuan masyarakat menjadi teras utama negara ini harmoni.

Pelancaran Kita FM dirasmikan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang dalam masa sama turut menyokong usaha Astro menghargai pemain industri dalam audio siar atau podcast menerusi program Podcast Creator Fund.

Menerusi program itu, Dana Syok sebanyak RM20,000 untuk lima podcaster terbaik akan menjadi rebutan kepada semua peserta dengan mereka hanya perlu berkongsi kandungan audio siar di platform rasmi Syok.

Mereka yang berminat untuk terus menyemarakkan Hari Kebangsaan boleh mendapatkan maklumat di laman web rasmi Syok atau muat turun aplikasi Syok.