Polis Malaysia telah mendapat 'notis merah' Interpol bagi penangkapan empat warga Korea Utara berhubung pembunuhan Kim Jong Nam, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

"Kami telah mendapat notis daripada Interpol ke atas mereka dan kami berharap dapat menangkap mereka melalui Interpol," katanya mengenai perkembangan terkini siasatan yang sedang dijalankan berhubung kes pembunuhan Jong-nam.

Notis merah Interpol merupakan instrumen paling hampir bagi waran penangkapan antarabangsa yang digunakan hari ini.

Jong Nam, abang pemimpin tertinggi Korea Utara Kim Jong Un, didakwa dibunuh dua wanita warga asing yang menyapu mukanya dengan agen saraf VX ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada 13 Feb untuk menaiki pesawat ke Macau.

Jong Nam, yang memiliki pasport tertera nama Kim Chol, meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.