Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelan baharu yang merangkumi Bangunan Sultan Abdul Samad, Dataran Merdeka, Stesen Kereta Api Kuala Lumpur dan bangunan Carcosa Seri Negara bakal memberi ruang pembaharuan sebenar di samping mengekalkan identiti asal.
"Ini adalah satu wajah Kuala Lumpur dari warisan Bangunan Sultan Abdul Samad di mana diletakkan warisan tetapi digabungkan tentang aspek yang dianggap moden dan dunia AI (kecerdasan buatan).
"Sebelum belanjawan Oktober ini, saya mahu pastikan supaya ada gambaran jelas pada negara bahawa kita ada usul untuk memulakan wajah Kuala Lumpur yang tidak terpisah daripada warisan budaya gemilang kita," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Sambutan Ulang Tahun Khazanah ke-30 di sini, pada Selasa.
Anwar yang juga Menteri Kewangan dan Pengerusi Khazanah berkata, kerajaan telah memberikan satu amanah yang sangat besar untuk menentukan wajah Kuala Lumpur itu tidak hilang daripada wajah warisan dan antarabangsa
"Di samping itu, ia juga memberikan suatu anjakan baru peranan dunia untuk kita memiliki masa depan," jelasnya.