Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin hari ini menyampaikan permohonan maaf bagi pihak Malaysia selaku tuan rumah Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) kepada seluruh rakyat Indonesia atas kesilapan melibatkan bendera negara itu.

Ia disampaikan Khairy dalam satu pertemuan dengan Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia, Imam Nahrawi di sini hari ini.

"Ini adalah satu kesilapan sangat besar dan saya bagi pihak tuan rumah mohon maaf kepada Bapak Imam dan seluruh rakyat Indonesia atas kesilapan besar ini," kata Khairy pada sidang media selepas pertemuan tertutup kira-kira 20 minit itu.


Bendera Indonesia didapati dicetak secara terbalik dalam buku khas cenderahati KL2017.

Imam Nahrawi menyatakan kekesalan berhubung perkara itu melalui akaun Twitternya semalam yang kemudian dibalas Khairy juga melalui Twitter dengan permohonan maaf selain menegaskan kesilapan itu tidak disengajakan.

Turut hadir pada sidang media itu Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M. Saravanan, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MON, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar dan Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC) KL2017, Datuk Seri Zolkples Embong.

Khairy, yang juga pengerusi MASOC, berkata beliau telah mengarahkan semua buku cenderahati berkenaan tidak lagi diedarkan dan edisi baharu dengan pembetulan akan dikeluarkan.

“Semua buku baharu ini akan dihantar kepada semua tetamu kehormat semalam terutama wakil-wakil kerajaan ASEAN bagi menggantikan buku cenderamata yang mengandungi kesilapan itu,” katanya.

Khairy turut memaklumkan bahawa Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman telah berhubung dengan rakan sejawatannya di Indonesia berkenaan hal sama.

"(Datuk Seri) Anifah memaklumkan kepada saya sendiri bahawa satu permohonan maaf rasmi akan dikeluarkan kerajaan Malaysia kepada kerajaan Indonesia menerusi kementerian luar masing-masing," katanya.

"Permohonan rasmi itu termasuk permohonan rasmi maaf daripada saya sendiri kepada Bapak Imam secara lisan dan juga bertulis adalah satu langkah untuk menzahirkan kekesalan Malaysia sebagai tuan rumah terhadap apa yang telah berlaku.

"Saya berharap atas semangat setiakawan, serumpun, permohonan maaf ini dapat dipertimbangkan oleh kerajaan Indonesia dan juga rakyat Indonesia dan dapat terus bina hubungan baik antara kedua-dua negara," kata Khairy.

Dalam pada itu, Imam Nahrawi berkata pihaknya mengambil maklum mengenai permohonan maaf berkenaan dan akan segera melaporkan kepada Presiden Joko Widodo untuk tindakan lanjut.

Beliau berharap insiden seumpama itu tidak berulang lagi kerana bendera adalah simbol sebuah negara yang perlu dihormati.

"Perkara ini tidak boleh melemahkan semangat atlet Indonesia dan atlet negara lain sebaliknya jadikan pengajaran penting supaya tidak berulang kembali pada masa depan," katanya.

-- BERNAMA