Dalam kejadian kira-kira pukul 5.28 petang itu, kereta pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dinaiki Khadijah bertembung dengan sebuah Toyota Avanza, dekat Taman Kinamas, Jalan Beaufort-Kota Kinabalu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Beaufort, Mohd Hasbullah Nenggok berkata, penyanyi berusia 64 tahun itu mengalami cedera ringan dalam kejadian berkenaan.
Jelas beliau, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan berkenaan pada pukul 5.29 petang.
"Terdapat lima mangsa terlibat dan telah berjaya keluar sendiri sebelum ketibaan pasukan bomba di lokasi kejadian.
"Dua orang mangsa di dalam kenderaan Toyota Avanza dan tiga lagi berada dalam kenderaan Toyota Hilux telah dihantar ke hospital oleh orang awam untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya.
Mohd Hasbullah menambah, seramai 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort dikejarkan ke lokasi kejadian.
Selain Khatijah yang juga pelantun lagu Ku Pendam Sebuah Duka, empat lagi mangsa yang berusia antara 30 dan 60 tahun turut mengalami kecederaan.
Jelas Mohd Hasbullah, operasi JBPM itu berakhir pada jam 6.10 petang.