MELAKA: Tindakan pantas Ketua St John Ambulance Malaysia (SJAM) Melaka Tengah Kristil Tan Ai Teng melakukan prosedur resusitasi kardiopulmonari (CPR) berjaya menyelamatkan nyawa seorang pemain yang rebah secara tiba-tiba dipercayai akibat serangan jantung, ketika pertandingan badminton di Durian Daun di sini, semalam.

Tan, 55, berkata insiden pada 9 malam itu berlaku ketika berlangsungnya perlawanan suku akhir acara beregu lelaki veteran yang disertai pemain berusia 55 tahun itu yang mewakili Institut Pengajian Guru Malaysia (IPG) Kota Bahru, Kelantan.

Beliau yang ketika itu bertugas sebagai pengarah teknikal acara badminton sempena Karnival Permainan Antara Staf (KAPAS) IPG, terdengar jeritan meminta tolong di tepi gelanggang.

"Secara spontan saya meluru ke arah lelaki itu yang telah rebah dan dikatakan sebelum itu dia meminta kebenaran untuk berehat sebentar lalu duduk bersandar di dinding.

"Saya dapati dia seperti terkena serangan jantung dan tanpa berlengah saya terus melakukan CPR sambil menyuruh pelajar yang juga sukarelawan bertugas mengambil alat AED (defibrilator luaran automatik) di dalam kereta saya," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Menurut Tan seorang lagi staf dari IPG Ipoh, Perak turut membantunya melakukan CPR sebelum beliau melakukan prosedur pertolongan cemas menggunakan alat AED, sementara menunggu ambulans tiba.

Pensyarah Unit Kokurikulum di IPG Durian Daun itu, berkata beliau amat bersyukur dapat membantu menyelamatkan nyawa lelaki berkenaan yang kemudian dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut dan dimaklumkan kini berada dalam keadaan stabil.

Katanya setelah selesai memberikan bantuan baru beliau berasa sebak kerana teringatkan peristiwa ketika usianya sembilan tahun apabila mendiang ayahnya meninggal dunia akibat serangan jantung.

"Jika waktu itu saya mempunyai ilmu pertolongan cemas dan mampu melakukan CPR secara betul, mungkin dapat menyelamatkan nyawa ayah saya.

"Sehubungan itu, saya berpendapat masyarakat perlu mempunyai ilmu pertolongan cemas untuk membantu sesiapa sahaja yang berdepan keadaan sama," katanya yang lebih 35 tahun bersama SJAM .

Tan berkata CPR merupakan kaedah pertolongan cemas asas yang membantu mengembalikan pengaliran darah dan kadar oksigen mencukupi ke paru-paru, otak serta organ penting lain sekali gus mampu menyelamatkan nyawa

Beliau yang juga pengadil teknikal di bawah Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dan berpengalaman berada di kejohanan badminton antarabangsa seperti Olimpik Tokyo dan Sukan Komanwel Birmingham, mengakui kejadian kecemasan seumpama itu pertama kali dihadapinya sewaktu bertugas dalam sukan badminton.

-- BERNAMA