Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed akan kembali bertugas mulai esok selepas bercuti sakit susulan pembedahan dua bulan yang lalu.

Bagaimanapun menurutnya, buat peringkat awal ini beliau tidak akan berkerja sepenuhnya, sebaliknya akan menyelesaikan perkara-perkara penting yang perlu diselesaikan.

"Saya telah diminta oleh doktor supaya tidak bekerja sepenuh masa selama sebulan (susulan) selepas melakukan pembedahan tersebut.

"Menurut doktor, sakit ini akan mengambil tempoh selama tiga bulan untuk pemulihan sepenuhnya," kata beliau selepas Majlis Paluan Berundur dan Majlis Persaraan Mantan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) Datuk Seri Zakaria Jaffar di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) hari ini.

Abu Kassim telah menjalani pembedahan pada 7 Ogos lalu dan dibenarkan keluar hospital pada 15 Ogos.

Terdahulu dalam ucapannya, Abu Kassim berkata cuti sakit beliau sepatutnya berakhir pada 16 Okt.

Bagaimanapun beliau memutuskan untuk kembali lebih awal kerana mahu menyelesaikan perkara-perkara yang penting.

"Ada perkara yang telah mulakan, jadi saya perlu selesaikan," katanya sambil menambah, beliau akan menguruskan secara berperingkat-peringkat atas nasihat doktor.

Majlis persaraan Zakaria turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Datuk Mustafar Ali; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme), Datuk Mohd Jamidan Abdullah; dan pengarah-pengarah Bahagian dan Negeri.

Majlis persaraan dimulakan dengan ucapan penghargaan oleh barisan tertinggi SPRM diikuti dengan 'punch out' terakhir oleh Zakaria, kemudiannya dibawa dengan kereta dan diarak oleh semua pegawai SPRM sebagai tanda ucapan selamat tinggal.

Pada majlis hari ini, Zakaria juga memperkenalkan buku terbaharu beliau yang berjudul "Man Ana: Memoir Tokoh Pembangunan SPRM".