PUTRAJAYA: Ketua-Ketua Perwakilan Diplomatik diseru agar menerapkan pendekatan yang lebih kreatif dalam usaha menarik kembali pelabur asing ke Malaysia.

Demikian seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap dalam Persidangan Ketua-Ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia Ke-9 di Wisma Putra, Putrajaya pada Selasa.

Ujarnya, semua pihak perlu cakna dalam meneroka serta menarik pelaburan dari negara-negara baharu, terutama apabila dunia rancak mencari pelaburan stabil di era pascapandemik.
    

"Pada masa sama, saudara dan saudari perlu turut memberi fokus kepada pembukaan peluang pasaran kepada produk-produk eksport Malaysia.

"Beberapa bidang tertentu seperti perdagangan, pendidikan dan pertanian perlu diberi penilaian yang menyeluruh ke arah memastikan Malaysia sentiasa di landasan tepat, dan tidak ketinggalan dalam dinamik perkembangan global dan cabaran semasa khususnya," katanya.

Tambah Perdana Menteri, kerjasama bersepadu rentas agensi merupakan kunci utama memastikan pelaburan asing masuk ke dalam negara.

Ia sekali gus membantu proses pemulihan negara terutama dala era pascapandemik.

Justeru, Ismail Sabri turut mengingatkan Perwakilan Diplomatik Malaysia agar terus mematuhi garis panduan menyeluruh di bawah gerak kerja Sistem Pentadbiran Kerajaan Malaysia (SPKM) di luar negara.

Malah ujarnya, semua penjawat awam perlu sentiasa bergerak secara bersepadu dan meninggalkan amalan lapuk bekerja secara bersendirian.

Terdahulu, Ismail Sabri merasmikan Persidangan Ketua-Ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia Ke-9 itu disaksikan Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Turut hadir dalam majlis itu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Noraini Ahmad, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.