Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga Mohd Yusni Mat Piah berkata, ADUN Sungai Dua itu mula tidak sihat kira-kira pukul 4 petang semalam ketika berada di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.
"Ustaz Muhammad Fauzi maklumkan sebaik keluar dari tandas di DUN Pulau Pinang, dia berasa kebas pada tangannya dan tidak boleh genggam (tangan), jadi dia terus dapatkan pemeriksaan dengan pegawai perubatan di bangunan DUN semalam.
"Saya difahamkan tekanan darahnya sangat tinggi dan hampir mencecah 200 ketika itu, beliau segera dibawa ke HPP dari DUN Pulau Pinang untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mohd Yusni yang melawat Muhammad Fauzi di HPP hari ini berkata ADUN itu ketika ini menerima rawatan di wad neurologi di hospital tersebut dan dilaporkan dalam keadaan stabil.
Beliau juga dimaklumkan yang Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) akan dibuat petang ini kerana dikatakan terdapat sedikit bengkak pada bahagian otak Muhammad Fauzi.
-- BERNAMA