KUALA LUMPUR: Masalah kesihatan mental yang membebani sebahagian masyarakat di negara ini akibat kesan pandemik COVID-19 dipercayai antara punca penyumbang menjejaskan kedudukan Malaysia dalam senarai Laporan Kegembiraan Dunia 2024 (World Happiness Report 2024).

Pertumbuhan ekonomi yang perlahan, suasana 'hangat' politik negara selain isu sosial dilihat sebagai penyumbang lain, demikian pandangan Pakar Psikologi dan Pensyarah Kanan Program Psikologi Klinikal dan Kesihatan Tingkah Laku Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Shazli Ezzat Ghazali.

Beliau bagaimanapun memberitahu Bernama, pencapaian Malaysia dalam menjadikan negara bahagia dan rakyatnya gembira agak baik.

Ini, katanya, dapat dilihat menerusi fokus serta inisiatif yang dilaksana kerajaan terhadap pembangunan ekonomi, menyediakan pendidikan berkualiti, infrastruktur serta kemudahan awam yang cekap dan berkualiti.

"Namun masih terdapat cabaran yang perlu dilakukan untuk meningkatkan lagi kebahagiaan rakyat Malaysia, termasuk mempergiatkan kesedaran mengenai kesihatan mental, mengurangkan isu berkaitan perbalahan kaum dan agama, jurang sosial dan ekonomi, meningkatkan keadilan sosial, memperkasakan sistem pendidikan dan kesihatan serta mengurangkan kesan negatif terhadap persekitaran.

"Pemerkasaan terhadap peranan ahli psikologi juga perlu bagi membantu menjadi intervensi dalam menjadikan negara bahagia dan rakyatnya gembira. Ahli-ahli psikologi mempunyai ilmu dan kemahiran untuk membantu rakyat yang berada dalam kemelut emosi dan pemikiran yang negatif," katanya.

Dalam Laporan Kegembiraan Dunia 2024, Malaysia menduduki tangga ke-59 iaitu turun empat tangga berbanding tahun 2023. Negara jiran Singapura di tangga 30 sementara Thailand ke-58 dan Filipina ke-53.

Finland kekal di tangga pertama untuk tujuh tahun berturut-turut sebagai negara paling gembira di dunia. Tempat kedua disandang Denmark diikuti Iceland tempat ketiga. Afghanistan kekal sebagai negara paling tercorot di kedudukan 143 di belakang Lebanon , Lesotho, Siera Leone, Congo serta Zimbabwe.

Laporan Kegembiraan Dunia ini adalah perkongsian antara Gallup, The Oxford Wellbeing Research Centre, the UN Sustainable Development Solutions Network dan Lembaga Pengarang World Happiness Report (WHR). Ia dikeluarkan di bawah kawalan Lembaga Pengarang WHR.

DEFINISI 'GEMBIRA'

Defiisi 'kegembiraan' menurut Shazli Ezzat ialah satu perkara yang berhubungkait dengan sesuatu kejadian, bersama pencapaian khusus.

Sebagai contoh, seseorang yang lulus peperiksaan, berkahwin dengan orang tersayang, berjumpa kawan serta sahabat handai, bekerja bersama majikan yang baik akan membuatkan individu itu berasa senang, seronok serta bahagia.

"Oleh itu gembira ditakrifkan sebagai perasaan sukacita atau kegirangan yang dialami seseorang. Ia satu keadaan emosi positif dan membawa kepuasan kepada individu.Orang yang gembira biasanya merasakan kebahagiaan dalam keadaan atau situasi tertentu," katanya.

Mengulas lanjut tentang emosi positif, pakar psikologi ini berkata, ia adalah nadi penting untuk dirasai individu kerana ia akan memberi impak kepada kesihatan mental, emosi dan fizikal seseorang sehingga boleh memberi kesan positif kepada insan terdekat, pekerjaan serta persekitaran mereka.

"Kegembiraan juga mampu untuk berjangkit serta dapat menghindari diri daripada berfikiran negatif selain mencegah perasaan paranoia.

"Membenarkan diri untuk merasai kegembiraan membantu meningkatkan kesihatan emosi, mental dan fizikal. Sama ada melalui kejayaan kecil atau detik-detik kebahagiaan, semua orang berhak untuk mengalami saat-saat indah dalam hidup mereka," katanya.

Namun, beliau mengakui, persekitaran kehidupan kini sememangnya mencabar terutama ketika negara melalui fasa pasca pandemik COVID-19, konflik ekonomi, politik serta tekanan pelbagai dimensi dari dunia luar mendatangkan implikasi negatif terhadap status kesihatan mental.

"Ini menjadi indikator negatif yang menyebabkan berlakunya gejala stres, kesedihan dan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.Secara langsung menyumbang kepada gejala kesukaran untuk menikmati kegembiraan dalam situasi yang mengganggu jiwa serta kesihatan mental individu terbabit.

"Dalam dunia yang semakin kompleks dan mencabar, tekanan daripada persekitaran, tuntutan kerja, masalah peribadi serta faktor lain boleh menghalang seseorang daripada menikmati kegembiraan sepenuhnya," katanya.

MASALAH KESIHATAN MENTAL MENINGKAT

Mengenai isu kesihatan mental, Shazli Ezzat berkata, ia mendominasi segenap lapisan masyarakat dengan kadar peningkatan sebanyak 10 peratus menjelang tahun 2025.

Beliau juga merujuk kepada Laporan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi 2015 yang mendapati masalah kesihatan mental adalah 29.2 peratus pada tahun itu berbanding hanya 11.2 peratus pada tahun 2005.

"Mengambil kira isu pandemik COVID-19 yang dihadapi dunia, maka menjelang tahun hadapan (2025) kadar berkenaan diramalkan meningkat hampir 39.2 peratus jika langkah proaktif tidak dilakukan oleh kerajaan, pemimpin masyarakat, ahli keluarga dan para profesional dalam bidang kesihatan mental," katanya.

Shazli Ezzat berkata, pertambahan statistik itu boleh diterjemahkan melalui pebagai insiden yang dilapor media belakangan ini yang menjurus kepada isu gangguan pemikiran, emosi serta tingkah laku seperti kes bunuh diri, kelar bayi, rogol, keganasan rumah tangga, pembunuhan kejam serta kejadian amukan.

Justeru, katanya, aspek sosial juga harus dititikberatkan untuk membantu individu beroleh kegembiraan antaranya menonjolkan kekuatan sokongan yang positif daripada keluarga, rakan sebaya, majikan dan masyarakat.

"Memberi peluang kepada individu berkembang, menyokong minat dan bakat mereka di samping membantu mencapai matlamat hidup bermakna. Ini boleh dilaksanakan melalui pendidikan, peluang pekerjaan dan meningkatkan kegembiraan dalam komuniti.

Beliau menambah, sokongan sosial dapat memastikan keseimbangan hidup antara kerja, keluarga, rekreasi sekaligus berupaya menyuburi kebahagiaan.

Dalam konteks negara pula, beliau berkata, usaha untuk memperbaiki kualiti kehidupan masyarakat secara keseluruhan amat penting termasuk pemerkasaan ekonomi, penyediaan infrastruktur yang baik, pendidikan berkualiti, kesihatan yang terjamin, serta keadilan sosial dan perpaduan dalam masyarakat.

"Pemerkasaan profesion menolong seperti kaunselor dan ahli psikologi juga perlu bagi memberi ruang kepada masyarakat yang memerlukan bantuan dan sokongan emosi. Ia berupaya memberi nilai tambah positif kepada peningkatan kegembiraan dan kesejahteraan kepada masyarakat secara holistik," katanya.


CONTOHI NEGARA PALING GEMBIRA FINLAND

Menurut sebuah laporan portal, seorang pakar psikologi dari Finland mendedahkan tiga komponen menjadi prinsip utama dipegang rakyat negara itu dalam menjadikan kehidupan mereka penuh kebahagiaan.

Tiga pegangan berkenaan ialah rasa kemasyarakatan dan perhubungan yang kuat, berbuat baik kepada orang lain serta mencari tujuan yang jelas.

Mengulas perkara ini, Pakar Perunding Psikologi Perkembangan (Kanak-kanak dan Remaja), Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia, UKM Dr Abdul Rahman Ahmad Badayai berkata, tiga komponen yang diamalkan masyarakat Finland sangat bagus dan patut dicontohi.

"Komponen berkenaan kemungkinan berbeza dengan setiap negara termasuklah Malaysia. Bukan mudah untuk mencontohi prinsip kebahagiaan atau kegembiraan negara lain.

"Bagaimana pun kemampuan masyarakat Malaysia untuk mengadaptasi prinsip dari Finland memerlukan persediaan psikologi yang kuat kerana ianya merupakan refleksi dalaman (psikologi) seseorang individu.

"Tetapi ia turut didorong oleh faktor lain seperti persekitaran yang membina dan aspek sosial yang positif untuk melaksanakan ketiga-tiga komponen terbabit," katanya.

Menurut beliau, rakyat negara ini memerlukan hubungan fizikal secara peribadi untuk mengekalkan kebahagiaan serta kegembiraan pada tahap optimum.

"Maka penting untuk menjadualkan masa dengan rakan dan keluarga secara peribadi dan tetap untuk mengelakkan kesunyian. Ia tidak semestinya berjam-jam, atau keluar malam penuh. Contohnya, berjalan kaki selama 15 minit atau sebarang interaksi adalah lebih baik daripada tiada langsung.

"Walaupun seseorang itu "introvert", sangat penting untuk bersungguh-sungguh dalam melakukan aktiviti sosial, membina hubungan serta menjalin persahabatan yang kuat dengan orang lain," katanya.

Beliau menekankan bahawa memupuk hubungan sosial yang kukuh adalah penting dalam mencipta kebahagiaan selain membuatkan masyarakat berasa lebih selamat.

"Ia membangkitkan rasa untuk berkongsi cerita kepada orang lain selain membenarkan individu terbabit turut bercerita kepada kita. Ini akan menaikkan rasa kegembiraan terhadap kesihatan mental di samping mengukuhkan ikatan sesama insan," katanya.

IMPAK KURANG HUBUNGAN SOSIAL

Kekuatan hubungan sosial sangat mempengaruhi aspek kesihatan mental dan kebahagiaan dalam kehidupan dan dalam hal ini, Abdul Rahman menjelaskan, apabila individu dapat berhubungan secara sosial dengan orang lain, ia membantu meredakan kebimbangan, kemurungan, mengurangkan tekanan, meningkatkan nilai diri, memberikan keselesaan, mencegah kesunyian dan meningkatkan jangka hayat.

"Sebaliknya kekurangan hubungan sosial yang kukuh menimbulkan risiko besar kepada kesihatan mental, emosi, fizikal dan keseluruhan aspek kebahagiaan.

"Sokongan sosial yang lemah dikaitkan dengan peningkatan kemurungan, kesunyian, tahap penggunaan alkohol yang lebih tinggi, peluang untuk mendapat penyakit kardiovaskular, demensia dan kadar bunuh diri juga akan bertambah," katanya.

Justeru beliau berkata, hubungan secara peribadi antara satu sama lain mampu mengurangkan tekanan, membuatkan individu masyarakat berasa lebih bahagia, sihat serta dapat menjalani gaya hidup positif.

Berhubung kedudukan Malaysia dalam senarai negara gembira, Abdul Rahman berkata, tahap stres atau tekanan adalah perkara yang perlu diteliti dan ditangani secara bersama.

"Tekanan yang tinggi akan menjejaskan tahap kebahagiaan masyarakat di Malaysia. Malah ia juga memberi kesan kepada kualiti pekerjaan, hubungan sosial seta kestabilan ekonomi negara," katanya.


-- BERNAMA