KUALA LUMPUR: Faktor krisis kewangan, tiada pekerjaan, tekanan pekerjaan, masalah keluarga, dan persekitaran dikenal pasti menyumbang kepada masalah kesihatan mental rakyat Malaysia.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, 91.2 peratus daripada lebih 100,000 panggilan diterima daripada talian bantuan sokongan psikososial memerlukan sokongan emosi dan kaunseling.

"Dari 1 Januari hingga 21 Mei, talian bantuan sokongan Psikososial KKM, Mercy Malaysia dan Talian Kasih dan Bahagian Keluarga Sosial dan Komuniti (KSK) Jakim telah menerima sejumlah 101,150 panggilan di mana 91.2 peratus memerlukan sokongan emosi dan kaunseling.

"Faktor seperti stres keterlaluan, murung, hilang harapan untuk meneruskan kehidupan, hilang sumber pendapatan, perselisihan dengan pasangan serta keluarga, stigma terhadap jangkitan dan kurang akses terhadap bantuan fasa PKP dikenal pasti," katanya dalam sidang media melaui aplikasi Zoom pada Khamis. 

Dalam pada itu katanya, Majlis Penasihat Kesihatan Mental Negara meminta supaya KKM menambah jumlah kaunselor di kementerian dan susulan itu, beberapa penambahbaikan telah dilakukan. 

"200 pegawai psikologi dilantik daripada lewat 2020 hingga kini dan akan disambung 2022 untuk meneruskan penyampaian kesihatan mental kepada barisan hadapan dan masyarakat," jelasnya.

KKM juga telah memutuskan untuk memberi peruntukan kepada badan bukan kerajaan (NGO) melalui pemerkasaan masyarakat dengan memberikan latihan kepada individu-individu di luar lingkungan KKM untuk advokasi kesihatan mental.