Kini, Malaysia menuntut beberapa kawasan di Laut China Selatan dengan lima negara yang lain iaitu Indonesia, Brunei, Vietnam, Filipina dan China.
Beberapa hari yang lalu, Tribunal Timbangtara Antarabangsa (PCA) di the Hague, Belanda telah membuat keputusan menentang tuntutan China ke atas Laut China Selatan menerusi ‘sembilan garis-putus’.
MESTI BACA: China 'tidak iktiraf' keputusan Tribunal Timbangtara
Tribunal tolak tuntutan China ke atas Laut China Selatan
Apakah implikasi keputusan ini terhadap Malaysia?
Laut China Selatan
Seperti yang termaktub di dalam LOSC, mana-mana negara berhak menuntut wilayah laut sehingga 12 batu nautika dan 200 batu nautika wilayah zon ekonomi ekslusif (EEZ) dan pelantar benua.
Tuntutan bertindih maritim ke atas Laut China Selatan adalah seperti yang ditunjukkan di dalam Rajah 1:
Walaubagaimanapun, tuntutan China adalah sedikit aneh di mana kerajaan Beijing menuntut kawasan serba luas di Laut China Selatan yang dilitupi ‘sembilan garis-putus’ seperti yang digambarkan di dalam Rajah 2.
Beijing menyatakan bahawa perairan ini, menerusi tuntutan bersejarah, adalah miliknya dan dengan itu patut kekal di bawah kedaulatan China.
Kepulauan Spratly
Kepulauan Spratly adalah sebuah kepulauan yang terdiri daripada 750 batu karang, batuan, beting pasir dan pulau-pulau yang dilingkungi garis-garis yang dituntut oleh China di Laut China Selatan.
Kepulauan ini pernah menjadi milik Empayar Jepun sehingga penghujung Perang Dunia Kedua pada tahun 1945.
MESTI BACA: Indonesia kukuhkan pertahanan maritim selepas tuntutan Beijing ditolak
Setelah Jepun kalah perang, kedaulatan ke atas kepulauan ini telah dilepaskan oleh pihak Jepun menerusi Perjanjian Perdamaian San Francisco yang ditandatangani di antara Jepun dan pihak Berikat pada tahun 1951, tanpa menamakan negara pewaris ke atas kepulauan ini.
Kepulauan Spratly ini secara geografi terletak lebih berdekatan dengan negara-negara Asia Tenggara berbanding China.
Walaubagaimanapun, berdasarkan alasan sejarah, China telah meletakkan tuntutan ke atas keseluruhan kepulauan Spratly, yang lebih dikenali sebagai kepulauan Nansha oleh rakyat China.
Beberapa negara telah mempertikaikan sembilan garis-putus yang dianggap melanggar apa yang dipersetujui di bawah undang-undang antarabangsa.
Amerika Syarikat kini telah mula untuk memperbanyak operasi kebebasan pelayaran di Laut China Selatan untuk membuktikan kepada masyarakat dunia bahawa kawasan ini adalah milik dunia antarabangsa.
Laut China Selatan bukan milik China
Akan tetapi, China telah memulakan beberapa kerja-kerja penambakan di kepulauan Spratly sebagai lambang kedaulatan menerusi kependudukan efektif (effectivitae).
Filipina telah memfailkan kes menentang China pada 22 Januari 2013 kepada PCA seperti yang dibenarkan dalam Artikel 287 LOSC.
Kerajaan Beijing, bagaimanapun, enggan menerima proses timbangtara yang dimulakan oleh Filipina ini.
Keengganan China untuk menyertai timbangtara ini tidak menghalang PCA untuk memulakan prosiding seperti yang dipohon oleh Filipina.
Pada 12 Julai 2016, PCA secara sebulat suara membuat keputusan bahawa ‘sembilan-garis putus’ yang dituntut China berdasarkan hak bersejarah adalah tidak berketepatan menurut undang-undang antarabangsa.
Kerajaan China juga telah diarahkan untuk memberhentikan segala aktiviti penambakan di Laut China Selatan.
China tolak keputusan mengenai Laut China Selatan
Keputusan PCA adalah mutlak dan muktamad.
Memandangkan keputusan ini dibuat secara unilateral tanpa penyertaan China di PCA, kerajaan Beijing telah bertindak menolak keputusan ini.
Implikasinya Terhadap Malaysia
Seperti yang digambarkan oleh Rajah 1, tuntutan ‘sembilan-garis putus’ ini banyak memberi kesan ke atas wilayah perairan di Sabah dan Sarawak yang berada di bawah kedaulatan Malaysia.
Tuntutan ‘sembilan-garis putus’ ini telah menyebabkan China merasakan perairan ini adalah sepenuhnya hak miliknya.
Akibat daripada ini, pihak berkuasa China pada November 2015 telah membolos perairan Beting Patinggi Ali (terletak kira-kira 134 batu nautika atau 250km dari Miri) dan kawasan sekitarnya yang terletak di dalam EEZ Malaysia dengan menambah jumlah rondaan di kawasan tersebut.
Keputusan PCA yang mengisytiharkan ‘sembilan-garis putus’ ini tidak sah di bawah undang-undang antarabangsa memberikan kelebihan kepada Malaysia.
Tanpa tuntutan ‘sembilan-garis putus’ ini, kebanyakan kawasan maritim yang dituntut Malaysia terletak lebih dari 200 batu nautika dari tanah besar China.
Oleh itu, tuntutan maritim China tidak lagi akan bertindih dengan Malaysia secara signifikan berdasarkan kedudukan geografi kedua-dua negara.
Keputusan PCA ini meletakkan Malaysia di kedudukan lebih baik untuk memastikan insiden pencerobohan Beting Patinggi Ali yang terletak di dalam wilayah perairan Malaysia tidak lagi akan terjadi.
Kesan keputusan di The Hague
Terdahulu pada September 2015, Laksamana China Yuan Yubai telah dilaporkan untuk menyatakan Laut China Selatan milik China berdasarkan namanya ‘Laut China Selatan’.
Jika inilah yang menjadi kayu ukur kedaulatan, Selat Melaka patut menjadi milik Malaysia secara keseluruhan, Selat Singapura menjadi hak mutlak Singapura, Lautan Hindi menjadi milik India dan Laut Jepun harus diletakkan di bawah kedaulatan Jepun sahaja.
MESTI BACA: Apa hak Filipina untuk menuntut Sabah?
Oleh itu, kedaulatan ke atas kawasan maritim tidak seharusnya ditentukan berdasarkan nama negara ianya dinamakan.
Kesimpulan
Keputusan PCA adalah suatu pencapaian dalam perkembangan undang-undang laut antarabangsa yang mendokong semangat LOSC - menyelesaikan pertikaian tanpa peperangan.
Malaysia banyak mendapat faedah daripada keputusan PCA yang telah mengisytiharkan ‘sembilan-garis putus’ yang dituntut oleh China tidak sah.
Tuntutan ‘sembilan-garis putus’ ini memberikan banyak kesan ke atas kedaulatan Malaysia di perairan Sabah dan Sarawak.
Walaupun diketepikan oleh China, keputusan ini dapat memberikan sedikit ‘kuasa tawar-menawar’ atau leverage bukan sahaja kepada Filipina, tetapi juga kepada negara-negara Asia Tenggara yang lain seperti Malaysia, Brunei dan Vietnam untuk memulakan perbincangan dengan China.
Adalah penting untuk negara-negara yang menuntut kedaulatan di Laut China Selatan untuk mencapai kata sepakat.
MESTI BACA: Apa yang rakyat Malaysia perlu tahu tentang Akta Wilayah Laut 2012 (TSA)
Salah satu daripada kaedah yang boleh dipertimbangkan adalah untuk mengguna pakai kaedah yang digunakan di dalam Perjanjian Antartika – mementingkan kedamaian berbanding tuntutan kedaulatan.
Tujuh negara telah membuat tuntutan ke atas Antartika dan negara-negara ini berjaya membahagikan wilayah-wilayah mereka di benua ais ini secara aman dan saksama.
Seperti juga di Laut China Selatan, ianya kini dituntut oleh enam buah negara – bolehkah negara-negara ini membahagikan kawasan yang menjadi pertikaian secara saksama?
Jika pembahagian wilayah maritim secara aman tidak dapat dilaksanakan, negara-negara yang terlibat dalam pertikaian ini boleh mempertimbangkan untuk Laut China Selatan dijadikan ‘kawasan pembangunan bersama’ di mana sumber-sumber alamnya boleh dikongsi bersama dengan negara-negara yang terlibat.
MESTI BACA: Batu Puteh: 4 perkara setiap warga Malaysia perlu tahu
Dalam pada itu, memandangkan kependudukan efektif atau effectivitae penting dalam pengiktirafan kedaulatan ke atas sesuatu wilayah, Malaysia harus terus mengirim kapal-kapal peronda, memasakkan Jalur Gemilang ke atas pulau-pulau yang berada di dalam kawasan tuntutan Malaysia, melaksanakan pengawasan serta menggalakkan nelayan tempatan untuk menangkap ikan di kawasan yang menjadi pertikaian ini.
Akhir sekali, rakyat Malaysia harus bersatu bagi mempertahankan kedaulatan dan hak berdaulat negara ini di Laut China Selatan.
Kenyataan tidak diundang yang dibuat oleh seorang ahli parti politik tempatan bahawa ‘Laut China Selatan adalah milik China’ adalah suatu pengkhianatan terhadap kedaulatan negara ini dan tidak sepatutnya diujar oleh seorang rakyat yang sayangkan negaranya.
Laut China Selatan milik semua negara yang menuntutnya dan harus dikongsi bersama berdasarkan lunas-lunas undang-undang antarabangsa.
Mohd Hazmi Mohd Rusli (Ph. D) ialah seorang pensyarah kanan di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia dan seorang profesor pelawat di Sekolah Undang-undang, Far Eastern Federal University, Vladivostok, Russia.
*Garis-garis yang dilukis dalam Rajah 1 dan Rajah 2 adalah untuk tujuan illustrasi dan tidak menggambarkan kawasan sebenar yang dituntut negara-negara berkenaan.
Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.