Ringkasan AI
- Hafizul Hawari, pengurus syarikat agensi pelancongan, mengaku bersalah atas tujuh pertuduhan termasuk memiliki senjata api dan peluru tanpa lesen.
- Pertuduhan lain termasuk memiliki mercun tanpa permit, memiliki tiga kad pengenalan milik individu lain, dan menggunakan nombor pendaftaran palsu pada kereta.
- Mahkamah menetapkan Selasa depan untuk fakta kes dan hukuman, dengan Hafizul berdepan hukuman penjara dan denda jika sabit kesalahan.
Hafizul yang mengaku tidak bersalah pada 24 April tahun lepas, bagaimanapun telah menukar pengakuan kepada bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mahkamah menetapkan Selasa depan untuk fakta kes dan hukuman.
Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa memiliki senjata api jenis pistol Glock 19 Austria yang menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebat minimum enam kali, jika sabit kesalahan.
Beliau juga didakwa mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 kerana memiliki 33 butir peluru PMC 380 AUTO tanpa lesen yang boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya.
Bagi pertuduhan ketiga, Hafizul dituduh memiliki satu bungkusan plastik cerah mengandungi mercun bola tanpa permit mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.
Bagi pertuduhan keempat hingga keenam, tertuduh didakwa memiliki tiga kad pengenalan milik tiga individu berbeza mengikut Peraturan 25(1)(o) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990, yang boleh dipenjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya.
Dibawah pertuduhan ketujuh pula, Hafizul didakwa memandu kereta jenis Honda Civic berwarna putih menggunakan nombor pendaftaran palsu mengikut Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda minimum RM5,000 dan maksimum RM20,000 atau penjara minimum setahun dan maksimum lima tahun atau kedua duanya sekali.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan dalam kereta itu di perkarangan sebuah hospital swasta di sini, pada 2 petang, 15 April lepas.
-- BERNAMA
