KUALA LUMPUR: Polis menemukan petunjuk baharu dalam memburu dua lagi lelaki bersenjatakan parang yang melarikan diri selepas dua rakan mereka ditembak mati di Taman Supreme, Cheras, di sini, semalam.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut petunjuk itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata polis turut menubuhkan pasukan bagi mengesan kedua-dua warga asing itu, yang disyaki terlibat dalam kegiatan pecah rumah di kawasan berkenaan.

"Setakat ini kami telah ada petunjuk baharu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini.

Awal pagi semalam, polis menembak mati dua lelaki berusia lingkungan 30-an disyaki terlibat dalam kegiatan pecah rumah di kawasan perumahan terbabit selepas mereka cuba menyerang polis menggunakan parang manakala dua lagi melarikan diri menggunakan sebuah kenderaan bernombor pendaftaran palsu.

Sementara itu, beliau berkata polis menahan dua lelaki dan dua wanita tempatan berusia lingkungan 21 hingga 23 tahun disyaki terlibat dalam kegiatan penipuan e-belian dan tawaran kerja menerusi pusat panggilan dalam serbuan di sebuah rumah di Bukit Bintang di sini semalam.

Menurut Mohd Shuhaily serbuan pada 2 petang itu turut merampas empat komputer riba dan 15 telefon bimbit daripada sindiket yang menyasarkan mangsa warga Australia dan beroperasi sejak Mac lepas.

"Kesemua mereka disyaki berperanan sebagai operator untuk mendapatkan mangsa-mangsa menggunakan Facebook.

"Modus operandi sindiket ini ialah menipu warga Australia dengan menawarkan perkhidmatan pembelian sesuatu produk. Apabila mereka ditawarkan dengan sesuatu produk, lagi tinggi mereka melabur, lagi banyak imbuhan diperoleh," katanya.

Beliau berkata mereka melabur antara AUS$100 hingga AUS$1,000 untuk mendapat jumlah pulangan imbuhan yang tinggi.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu diminta menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/0585 atau balai polis berhampiran.

Terdahulu, Mohd Shuhaily menyaksikan serah terima tugas Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur antara Ketua Cawangan Khas yang juga pemangku Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Abu Samah Mohd Noor dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Habibi Majinji di IPK Kuala Lumpur di sini hari ini.

Habibi dilantik pemangku Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur menggantikan Abu Samah yang dilantik Timbalan Ketua Polis Kedah.

-- BERNAMA