KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memberi masa dua minggu kepada pihak pendakwaan untuk melengkapkan dokumen kes pecah amanah (CBT) dana kerajaan sebanyak RM6.6 bilion sebagai bayaran kepada Syarikat Pelaburan Petroleum Antarabangsa (IPIC) kepada pihak Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah.


Ringkasan AI
  • Mahkamah Tinggi memberi pihak pendakwaan dua minggu lagi untuk lengkapkan dokumen kes pecah amanah RM6.6 bilion melibatkan Najib dan Mohd Irwan.
  • Peguam Mohd Irwan menyatakan 100 dokumen penting belum diserahkan termasuk memo surat Kabinet dan e-mel saksi pembelaan.
  • Najib dan Mohd Irwan mengaku tidak bersalah atas pecah amanah RM6.6 bilion, tetapi kes masih berlanjutan di Mahkamah Tinggi.


Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin turut menegur pihak pendakwaan dan pembelaan agar berbincang memandangkan susunan dokumen sepatutnya disempurnakan semasa pengurusan kes.

“Saya sarankan pihak-pihak bekerjasama dalam memastikan dokumen mana yang akan digunakan kelak.

“Susulan itu, perbicaraan kes hari ini hingga 13 Jun ditangguhkan untuk memberi peluang kepada pendakwaan meneliti dokumen sebelum diserahkan kepada pembelaan, dua minggu sudah memadai, maka perbicaraan akan bermula 19 Jun ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas peguam, Datuk K Kumaraendra yang mewakili Mohd Irwan memaklumkan, terdapat 100 dokumen belum diserahkan kepada pihak pembelaan.

Kumaraendra yang mewakili Mohd Irwan yang juga bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan berkata, antara dokumen terbabit ialah memo surat mesyuarat Kabinet dan e-mel pernyataan saksi pembelaan termasuk rakaman percakapan saksi-saksi.

Menurutnya, baki dokumen tidak diberikan meskipun peringatan dibuat beberapa kali.

"Kami juga memaklumkan bahawa rakaman percakapan anak guam telah dipinda semasa siasatan.

“Dokumen berkenaan sangat penting terutama kepada anak guam saya, namun langsung tidak diberikan kepada pihak kami,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi berkata, dokumen yang diperlukan telah diserahkan kepada pembelaan, sebanyak empat kali bermula 29 November 2018 hingga 21 Mei 2021 lalu.

“Pagi ini, saya telah menyerahkan tujuh jilid dokumen yang diperlukan itu, melibatkan pernyataan saksi yang akan dipanggil kelak.

“Mungkin dokumen yang diperlukan itu, terkandung dalam senarai yang diserahkan pada pagi ini, jika tiada kami terpaksa rujuk dengan pegawai penyiasat, sama ada kita pernah merampas atau sebaliknya,” katanya.

Bagi melancarkan perbicaraan, beliau tidak membantahan sekiranya prosiding itu ditangguhkan ke tarikh lain.

Sementara itu, bekas Perdana Menteri yang diwakili peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah turut memohon mahkamah menangguhkan perbicaraan kerana terdapat banyak lagi dokumen yang tidak diserahkan oleh pihak pendakwaan.

Menurutnya, mereka menjangkakan pihak pendakwaan akan menyerahkan kepada pembelaan selewat-lewatnya Selasa.

“Dokumen yang tidak disediakan ini akan mencetuskan banyak penangguhan sekiranya perbicaraan,” katanya.

Muhammad Shafee yang turut mengendalikan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan saman sivil SRC International Sdn Bhd berkata, pembelaan mengalami keletihan untuk menyelesaikan penyerahan itu pada bulan Julai.

“Kalau Yang Arif bertegas, kita boleh putuskan tarikh itu kerana antaranya hari, saya pasti kita boleh cari hari, jika tidak perbicaraan ini hanya akan bermula pada 2025,” katanya.

Pada 3 Mac 2022, Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin menolak permohonan Najib, 71, dan Mohd Irwan, 68, agar mereka dilepas tanpa dibebaskan daripada semua pertuduhan atas alasan pihak pendakwaan bersedia untuk menjalankan kes.

Pada 25 Oktober 2018, Najib dan Mohd Irwan mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan pecah amanah ke atas harta Kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).

Kesalahan didakwa dilakukan di Kompleks Kementerian Kewangan di Putrajaya antara 21 Disember 2016 dan 18 Disember 2017.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. - Sinar Harian