Madrasah Tahfiz Al-Jauhar di Kota Tinggi hari ini tampil mengeluarkan kenyataan menjelaskan isu berkaitan kes Allahyarham Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi.

Ia dimuat naik di akaun Facebook, dan pihak madrasah menjelaskan ia bukan bertujuan mengganggu siasatan.

Antara yang ditekankan pengurusan ialah mereka berdaftar di bawah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), sesuai dengan peraturan Pengawalan Sekolah Agama Islam Johor 1991.


Ia mendapat kelulusan beroperasi selama lima tahun yang akan berakhir pada disember 2021.

Namun sukar bagi pihak jemaah pengurusan untuk memberi penjelasan mengenai luahan Allahyarham Mohamad Thaqif yang menggambarkan keperitannya sepanjang berada di madrasah itu.

Pihak pengurusan menjelaskan ada enam lagi surat Allahyarham yang diserahkan kepada pihak polis.

Mengenai pembantu warden yang ada rekod jenayah, jemaah pengurusan mengakui memang dia sendiri membuat pengakuan mengenai sejarah menjadi banduan.

Pihak madrasah memahami kejujuran dan hasratnya untuk memperbaiki kehidupan.

Namun, tindakan memukul menggunakan getah paip sama sekali tidak dibela pihak madrasah, malah menegaskan ia bukan seperti yang digambarkan orang ramai.

Jelas pihak madrasah, bukti kejadian dan rakaman litar tertutup sudahpun diserah kepada pihak polis.