Perjuangan lebih tiga tahun keluarga Jahidah Nordin @Sylvester, 46, yang didakwa dipukul suaminya sehingga koma akhirnya menemui titik noktah.
Adik mangsa, Fauziah Nordin, melahirkan rasa kesyukuran selepas penat lelah keluarga memperjuangkan penderitaan kakaknya sejak tiga tahun lalu dibalas dengan keputusan ditetapkan Mahkamah Sesyen, di sini, pada Isnin.
Sebak menceritakan keadaan kakak sulungnya, Fauziah berkata, keadaan Jahidah masih tidak berubah, hanya mampu terlantar di atas katil.
“Kira macam tiga ke empat tahun ini, penat lelah menunggu keputusan begini, terbela nasib Kak Jahidah, perancangan kami untuk meneruskan kehidupan macam biasa dengan menjaga kakak. Semoga dia cepat sembuh dan anaknya dapat dibesarkan dengan baik,” kata Fauziah, ketika ditermui di luar perkarangan Mahkamah Johor Bahru di sini, hari ini.
Bercerita lanjut, Fauziah berkata, Jahidah memerlukan penjagaan rapi keluarga kerana tidak mampu bergerak, memberi reaksi mahupun bertutur.
Malah, Jahidah hanya boleh diberikan susu menerusi tiub sahaja.
Katanya, anak tunggal Jahidah, Eshan Nufail yang dilahirkan secara pembedahan pada 30 November 2021 ketika mangsa masih koma disahkan berstatus orang kurang upaya (OKU) lambat berjalan dan bercakap.
Ehsan Nufail dilaporkan mengalami pertumbuhan yang perlahan, tidak boleh bercakap dan baharu pandai berjalan ketika ini berusia tiga tahun.
Kes Jahidah pernah menggemparkan negara berikutan wanita itu dilaporkan hamil ketika dipukul sehingga parah dan koma.