Kes-kes yang melibatkan hal ehwal Islam, perlu dibicarakan di Mahkamah Syariah kerana ia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir
Baharom.

Beliau berkata setiap mahkamah telah diagih bidang kuasa masing-masing dan jika wujud sebarang kemusykilan, hal-hal berkaitan undang-undang dan mahkamah itu perlu dirujuk semula kepada asasnya, iaitu perlembagaan negara.

"Kita juga tidak bersetuju kalau kes-kes berkaitan Islam nak dibicarakan di Mahkamah Sivil. Ini kerana sudah ada pembahagian dan persefahaman awal sejak kemerdekaan," katanya kepada sidang media selepas merasmikan Seminar Antarabangsa Waqaf 2014 di sini, pada Isnin.

Jamil Khir berkata demikian sebagai mengulas surat terbuka 25 bekas pegawai tinggi Melayu yang antara lain menyifatkan beliau telah mengheret institusi Islam untuk dibicarakan di Mahkamah Sivil.

Surat terbuka daripada bekas pegawai tinggi termasuk Tan Sri Abdul Rahim Din, bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri dan Tan Sri Ahmad Kamil Jaafar, bekas Ketua Setiausaha Kementerian Luar selain beberapa bekas duta, disiarkan media pada Isnin.

Dalam surat terbuka itu, mereka turut mendesak supaya Undang-undang Jenayah Syariah dinilai semula kerana sistem perundangan plural yang wujud sekian lama, menimbulkan pelbagai konflik dan pertindihan antara undang-undang sivil dan syariah.

"Undang-undang berkenaan yang mengkanunkan pelbagai 'dosa peribadi' sebagai jenayah telah membawa kepada kekeliruan dan percanggahan dari aspek substantif serta pelaksanaan," menurut surat terbuka tersebut.

Jamil Khir bagaimanapun menegaskan tindakan mempertikaikan bidang kuasa setiap mahkamah hanya bermaksud cubaan mencari keadilan untuk diri sendiri.