KUALA LUMPUR: Lebih banyak lagi kes penderaan dipercayai berlaku melibatkan kanak-kanak di rumah amal yang dikaitkan dengan Global Ikhwan Service and Business Holding (GISB).


Ringkasan AI
  • Kes Penderaan Kanak-Kanak: Banyak lagi kes penderaan kanak-kanak dipercayai berlaku di rumah amal yang dikaitkan dengan Global Ikhwan Service and Business Holding (GISB).
  • Siasatan Polis: Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, menyatakan bahawa siasatan lanjut akan dijalankan oleh Pasukan Petugas Khas.
  • Pengakuan GISB: Pengerusi Eksekutif GISB, Datuk Nasiruddin Mohd Ali sebelum ini mengakui terdapat beberapa kes liwat dalam organisasi tersebut.


Perkembangan terkini tersebut dimaklumkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika dihubungi hari ini.

Razarudin menambah, beliau akan meminta pegawai Pasukan Petugas Khas untuk membuat laporan bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan.

"Banyak lagi (kes) penderaan ini (melibatkan kanak-kanak). Kita akan buat laporan untuk mulakan siasatan kita," katanya kepada Astro AWANI, pada Isnin.

Semalam, Razarudin memaklumkan polis tidak menolak kemungkinan akan menjalankan siasatan mengenai pengakuan pihak pengurusan GISB bahawa ada beberapa kes liwat pernah berlaku membabitkan individu dalam organisasi itu.

Katanya, perkara itu akan dipertimbangkan selepas semua siasatan kes sedia ada berkaitan GISB selesai dijalankan kelak.

Ia selepas  Pengerusi Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif GISB, Datuk Nasiruddin Mohd Ali mengakui berlaku beberapa kes liwat membabitkan individu dalam organisasi berkenaan.

Pada 12 September lalu, polis memaklumkan ratusan kanak-kanak berjaya diselamatkan hasil serbuan ke atas 20 rumah amal dikaitkan GISB di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan.

Susulan itu, seramai 171 individu yang ditahan dalam Op Global di Selangor dan Negeri Sembilan direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes eksploitasi kanak-kanak.