Penduduk Flat Taman Kosas di sini mendakwa tidak mendengar sebarang bunyi mencurigakan mahupun tindakan pelik susulan penahanan seorang wanita berusia 35 tahun, kerana didakwa mendera anak kandungnya yang berusia tujuh tahun hingga menyebabkan kematian pada Isnin.

"Saya tidak mendengar apa-apa bunyi kebelakangan ini," kata salah seorang jiran mangsa yang enggan dikenali kepada Astro AWANI pada Selasa.

Wanita yang kini direman bagi tujuan siasatan yang juga mengasuh kanak-kanak sebagai punca rezeki itu juga disifatkan sebagai seorang wanita yang baik.

Dia juga dikatakan tidak lokek dengan senyuman dan tidak pernah menimbulkan sebarang kekacauan di kalangan penduduk setempat.

"Dia ni saya kenal dia daripada dia sekolah dahulu. Kiranya budaknya baik. Tapi lepas daripada tu tak tahulah peribadinya macam mana.

"Sebab dia dah kahwin, lepas tu dah bercerai dan pindah balik di sini. Tapi nampak keluarganya biasa sahaja, begitu juga anak-anaknya," kata jiran wanita berkenaan.

Kematian kanak-kanak dan penahanan ibunya menjadi tanda tanya kepada penduduk mengenai apa sebenarnya yang berlaku.

Apatah lagi, mangsa yang bersekolah dalam Tahun Satu di Sekolah Rendah Taman Kosas, disifatkan sebagai seorang kanak-kanak normal seperti kanak-kanak yang lain.

"Sebelum ini pun saya tak ada nampak apa-apa perubahan. Hari-hari saya keluar pun nampak semuanya biasa sahaja," ujar jiran itu lagi.

Ibu mangsa dan seorang lelaki dipercayai teman lelakinya ditahan reman tujuh hari bermula Selasa bagi membantu siasatan.

Kejadian ini mengimbas kembali ingatan penduduk setempat kepada satu kes dera seorang kanak-kanak berumur dua tahun pada 1993 di flat yang sama.

Mangsa, Fatin Nur Haziqah Abdul Halim meninggal dunia di dalam baldi bilik air di rumahnya dalam keadaan tertonggeng.

Bedah siasat mendapati kanak-kanak malang itu mati akibat dipijak.

Menurut fakta kes, pelaku, teman lelaki ibunya, Zanorain Abdul Latif @ Aziz, yang juga bekas penyanyi rock memukul mangsa dengan tangan sebelum memijak perut mangsa sebanyak dua kali sehingga kanak-kanak itu muntah-muntah dan lemah.

Tertuduh bagaimanapun terselamat daripada tali gantung dan dipenjara 15 tahun selepas mengaku salah atas tuduhan pindaan menyebabkan kematian mangsa.