PETALING JAYA: Belum ada sebarang tangkapan yang dibuat dalam siasatan kes kematian kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, polis masih menunggu hasil analisis forensik bagi memberikan mereka lebih petunjuk yang dapat membantu memberkas pihak yang bertanggungjawab.

Dalam satu mesej ringkas yang dihantar, beliau memaklumkan operasi mengumpul maklumat secara besar-besaran di kawasan terbabit masih berjalan.

Beliau turut memaklumkan polis sudah merakam keterangan daripada 20 individu, manakala operasi pemeriksaan blok perumahan di Apartment Idaman, Damansara Damai akan diteruskan malam ini.

Ia susulan 540 unit rumah membabitkan tiga blok selesai diperiksa pada Jumaat.

Zayn Rayyan, 6, dilaporkan hilang pada tengah hari Selasa lepas di Damansara Damai, dan ditemukan maut dalam aliran anak sungai berhampiran kediamannya pada keesokannya, kira-kira 200 meter dari blok kediamannya di Apartment Idaman, Damansara Damai.