PETALING JAYA: Polis sudah mengambil sampel asid deoksiribonukleik (DNA) 228 penduduk Apartmen Idaman, Damansara Damai di sini, bagi membantu siasatan kes pembunuhan Zayn Rayyan Abdul Matiin.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kesemua sampel DNA itu diambil secara beramai-ramai daripada sebahagian penduduk di 18 blok apartmen berkenaan termasuk Blok R.

"Polis juga telah selesai membuat pemeriksaan rumah ke rumah termasuk kedai membabitkan 18 blok dengan 2,484 unit.

"Jumlah individu yang diperiksa terdiri 5,628 orang membabitkan penduduk di apartmen berkenaan," katanya ketika dihubungi media hari ini.

Hussein menambah sebanyak 90 kumpulan membabitkan 90 pegawai dan 188 anggota polis terbabit dalam operasi berkenaan.

Sementara itu, Hussein berkata, Forensic DNA Databank of Malaysia (FDDM) mempunyai lebih 250,000 profil DNA daripada mereka yang pernah ditangkap oleh  polis.

"Jika ada ditemui profil DNA tempat kejadian yang dipercayai kepunyaan suspek, bank data ini boleh bantu sekiranya suspek pernah ditangkap sebelum ini bagi apa-apa kesalahan lain.

"Setakat ini banyak kes, bank data ini telah bantu termasuk kes-kes yang tidak dapat diselesaikan 10 hingga 20 tahun dulu, yang dipanggil cold case," jelas beliau.

Dalam masa yang sama, beliau berkata selain cap jari dan DNA, terdapat beberapa bukti forensik lain yang boleh membantu siasatan seperti fiber, kain, tapak kasut dan sebagainya.